Elavarasan anggap kejayaan Felda benam Johor FC satu kejutan
JURULATIH Felda United, E Elavarasan menganggap kemenangan 2-0 ke atas Johor FC pada perlawanan pertama saingan Piala Malaysia dalam Kumpulan C di Stadium Pasir Gudang kelmarin adalah satu kejutan.
Apa tidaknya, bagi Elavarasan kelebihan tidak memihak kepada anak buahnya sebelum turun pada perlawanan pertama itu kerana Johor FC adalah sebuah pasukan yang mantap dan sentiasa konsisten terutama pada saingan Liga Super selain pastinya selesa beraksi di halaman sendiri.
“Tapi setiap pemain saya berjaya mempamerkan corak permainan berkualiti dan mengikut segala taktikal yang dirancang sepanjang permainan sekali gus ia menjadi kunci kepada kemenangan kami.
“Beraksi di tempat lawan pastinya sukar untuk memungut tiga mata penuh, tetapi pemain saya berjaya menyerap segala tekanan dan memanfaatkan segala peluang terbaik untuk menghasilkan gol.
“Apapun, ia adalah satu permulaan yang baik bagi Felda United dan secara tidak langsung meningkatkan motivasi pemain,” katanya.
Begitupun, Elavarasan tidak mahu anak buahnya terus berasa selesa dibuai memori indah meraih kemenangan pertama itu, sebaliknya beliau mahu mereka memberi fokus sepenuhnya untuk perlawanan seterusnya menentang Sarawak, Sabtu ini.
“Tidak guna kalau kita hanya memenangi perlawanan pertama saja tetapi tidak konsisten pada perlawanan seterusnya. Oleh itu, kami perlu terus mengekalkan rentak permainan cemerlang ini,” katanya.
Dalam aksi pada Selasa, Farderin Kadir muncul wira Felda United apabila menjaringkan kedua-dua gol untuk keputusan muktamad 2-0 mengatasi Johor FC.
Luahan Perasaan