Tiket perlawanan Malaysia vs Singapura habis dijual
Semua 85,000 tiket perlawanan Malaysia-Singapura sold out
Semua 85,000 tiket yang disediakan untuk perlawanan timbal balik pusingan kedua kelayakan Piala Dunia antara Malaysia dan Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini malam esok, habis dijual, kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, hari ini.
Beliau berkata, penjualan tiket yang menggalakkan dan di luar jangkaan itu membuktikan sokongan padu rakyat Malaysia terhadap pasukan bola sepak kebangsaan, Harimau Malaya tetap kukuh.
“Petang ini semua 85,000 tiket sudah habis dijual yang membuktikan rakyat Malaysia sememangnya yakin dengan pasukan kebangsaan.
“Saya menyeru semua penyokong datang memberi sokongan padu sehingga kita menang saingan ini,” katanya kepada Bernama ketika ditemui dalam tren KLIA Transit dalam perjalanan ke KL Sentral bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, serta anggota Kabinet yang lain bagi kempen kibar Jalur Gemilang.
Sebanyak 60,000 tiket dibeli pada hari pertama tiket perlawanan itu dijual semalam (laporan di bawah).
Malaysia kalah 3-5 pada perlawanan pertama di Stadium Jalan Besar di republik itu, Sabtu lalu. - BERNAMA
60,000 tiket perlawanan Malaysia-Singapura telah dijual
KUALA LUMPUR, (Bernama) - Sejumlah 60,000 tiket untuk menyaksikan perlawanan kedua pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014 di antara Malaysia dan Singapura, Khamis ini telah dijual.
Kesemua 60,000 tiket telah dibeli pada hari pertama tiket perlawanan itu mula dijual di tiga stadium yang dipilih.
“Kita (FAM) memang menjangkakan sambutan begitu menggalakkan khususnya di kalangan peminat tempatan,” kata pengerusi Jawatankuasa Tiket dan Pintu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk S. Sivasundaram kepada Bernama.
Menurut beliau sebanyak 25,000 tiket telah diagih-agihkan untuk jualan di Stadium Nasional Bukit Jalil dan masing-masing 12,500 tiket lagi untuk dijual di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Stadium Shah Alam.
Katanya, kesemua tiket yang diperuntukkan untuk jualan di Stadium Nasional habis dijual setakat pukul 3.30 petang manakala di dua lagi stadium pada pukul 5 petang.
Mengikut jadual asal, kaunter-kaunter tiket di ketiga-tiga stadium beroperasi dari pukul 9 pagi hingga 7 malam dan akibat sambutan yang di luar jangkaan, kaunter ditutup lebih awal.
Selain jualan terus tiket di kaunter-kaunter tiket, Sivasundaram berkata sebanyak 10,000 tiket telah ditempah dan dibeli melalui dalam talian iaitu di laman web www.tickethotline.com.my.
Daripada jumlah 60,000 tiket itu, 2,000 adalah daripada penyokong Singapura.
“Baki 25,000 tiket yang ada akan dijual esok di ketiga-tiga stadium bermula pukul 9 pagi,” katanya.
Mengenai rungutan sesetengah penyokong yang tidak dapat membeli tiket hari ini, Sivasundaram berkata: “Terdahulu sebelum ini kita telah umumkan yang kita akan menjual tiket-tiket berkenaan selama tiga hari bermula hari ini.
“Kalau kita jual habis semua tiket hari ini, macam mana pula bagi pembeli yang merancang untuk membelinya esok atau lusa. Kita tidak boleh puaskan hati semua pihak,”
tambah beliau.Sementara itu, seorang pensyarah Psikologi Sosial Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Maarof Redzuan berkata peminat bola sepak negara seharusnya menerima hakikat kekalahan 3-5 skuad Harimau Malaya.
Katanya penyokong pasukan bola sepak kebangsaan seharusnya keluar beramai-ramai ke Stadium Bukit Jalil pada perlawanan Khamis ini untuk memberikan sokongan moral kukuh kepada pemain negara menebus kekalahan.
“Peminat bola sepak Malaysia seharusnya tidak memalingkan sokongan mereka. Sokongan kukuh kepada pasukan negara ketika menang dan kalah secara psikologi sangat penting untuk Harimau Malaysia beraksi lebih baik dan seterusnya memenangi perlawanan,” katanya.
Sokongan tidak berbelah bagi akan menjadikan kesebelasan pemain Malaysia lebih selesa dan yakin ketika beraksi di padang sendiri, kata Dr Maarof.
Seorang lagi peminat Azuan Sharif, 34, yang bertugas di Tenaga Nasional Berhad berkata sokongan padu rakyat Malaysia penting dalam misi kalah mati pasukan bola sepak negara.
Katanya perlawanan antara Malaysia dan Singapura itu membabitkan suatu kemegahan negara.
Luahan Perasaan