Presiden FAM beri sumbangan kepada keluarga Isa Bakar
Sultan Ahmad Shah hulur sumbangan peribadi RM10,000
PEMERGIAN bekas penyerang bola sepak kebangsaan, Allahyarham Isa Bakar, 58, yang meninggal dunia Sabtu lalu mendapat perhatian Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah.
Baginda yang mengenali bekas legenda bola sepak negara itu, menghulurkan sumbangan peribadi sebanyak RM10,000 kepada keluarga Allahyarham, semalam.
Sumbangan disampaikan melalui Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad dan diterima isteri Allahyarham, Mazlina Md Ismail, 49, di rumah keluarga Isa di Sungai Ara.
Pertemuan tersebut turut dihadiri anak-anak Allahyarham iaitu Nur Kamalia, 19; Nur Liyana, 21; Nur Aishah, 23; dan Muhd Firdhaus, 16.
Azzuddin memberitahu, Sultan Ahmad Shah turut dukacita dengan pemergian Isa.
”Baginda telah menghubungi dan meminta saya melawat serta menyampaikan ucapan takziah serta menyampaikan sedikit sumbangan bagi meringankan beban kepada keluarga Allahyarham. Baginda sekarang berada di luar negara,” kata Azzuddin.
Pada masa sama, tambahnya, Sultan Ahmad Shah juga telah mengarahkan beliau mendapatkan butir peribadi isteri dan anak-anak Allahyarham, bagi memastikan bentuk bantuan susulan yang dapat diberikan kepada mereka kelak.
”Baginda hendak tahu mengenai keadaan keluarga Allahyarham, tentang anak-anaknya, sama ada bekerja atau sedang belajar.
”Ini semua untuk memastikan nasib mereka terbela, malah FAM juga akan membantu sedaya upaya,” ujarnya.
Sementara itu, Mazlina menyatakan rasa terharu dan mengucapkan terima kasih kepada pihak yang memberi sumbangan, terutama Sultan Ahmad Shah, yang banyak memberi bantuan dan sokongan.
”Memang banyak sumbangan yang kami terima, tetapi yang paling penting dorongan serta kata-kata semangat kepada keluarga kami untuk meneruskan kehidupan,” katanya.
Isa, adik kepada seorang lagi bekas pemain kebangsaan, Allahyarham Ali Bakar, menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Pulau Pinang, setelah mengalami batuk berdarah, yang teruk Sabtu lalu.
Isa yang dilahirkan pada 25 Disember 1952, merupakan pemain penyerang digeruni serta lincah semasa zaman kegemilangan bersama-sama abangnya, Ali serta pemain seangkatan dengan Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari sekitar era 70-an dan 80-an.
Isa memulakan karier bersama skuad kebangsaan pada 1974, beraksi pada Pesta Bola Merdeka 1976 dan Piala Presiden di Bangkok 1977.
Allahyarham juga membantu skuad kebangsaan memenangi pingat emas Sukan SEA pada tahun 1977 di Kuala Lumpur apabila menundukkan Burma 8-1.
Luahan Perasaan