Khairul Fahmi, Fadhli Shas dalam senarai skuad impian Asia 2011
PENJAGA gol nombor satu negara, Khairul Fahmi Che Mat dan tonggak pertahanan Harimau Malaya, Mohd. Fadhli Shas mendapat penghormatan terbesar apabila tersenarai antara dua pemain dalam skuad impian Bawah 23 Tahun Asia bagi tahun 2011 oleh laman web sukan terkenal, Goal.com.
Bertambah membanggakan, nama mereka sebaris dengan beberapa bakat baru meningkat naik di benua Asia seperti penyerang Korea Selatan, Ji Dong-Won yang menjadi pemusnah Manchester City melalui jaringan tunggal 1-0 ke atas pendahulu Liga Perdana England itu dan bintang tengah Glasgow Celtic, Ki Sung-yeung.
Khairul Fahmi atau Apek diangkat antara penjaga gol terbaik Asia Bawah 23 ekoran prestasi cemerlangnya membantu Malaysia mempertahankan pingat emas Sukan SEA XXVI Indonesia, November lalu.
Selain ketangkasannya diakui juga sepanjang pentas kelayakan Sukan Olimpik, dia juga menjadi kunci kepada kejayaan Kelantan menjuarai Liga Super pada musim lalu.
Sementara itu, Mohd. Fadhli Shas menjadi pilihan utama di barisan pertahanan tengah dan digandingkan dengan pemain Australia, Rhys Williams yang kini bermain di England bersama Middlesbrough dalam Liga Kejuaraan.
Fadhli juga mempamerkan prestasi konsisten dalam saingan kelayakan Olimpik 2012 dan menjadi antara watak penting kepada kestabilan bahagian pertahanan semasa bergandingan bersama Mohd. Muslim Ahmad, Mohd. Zubir Azmi dan Mahalli Jasuli.
Hanya Andik Vermansyah dari Indonesia yang bermain di sayap kiri, pemain dari benua Asia Tenggara berada dalam senarai skuad impian berkenaan.
Melengkapkan senarai skuad impian itu ialah Hiroki Sakai dari Jepun di bek kanan dan pemain Iran, Ehsan Hajsafi mengisi posisi bek kiri.
Seorang lagi pemain Jepun, Hiroshi Kiyotake dipilih antara pemain sayap kanan terbaik manakala tonggak utama Anzhi Makhachkala, Odil Ahmedov dari Uzbekistan bergandingan dengan Sung-yeung mengemudi bahagian tengah.
Penyerang, Jeje Lalpekhlua dari India melengkapkan senarai 11 pemain dan bergandingan dengan Dong-won di bahagian serangan,
Sebelum ini, pada dua hari lalu, penyerang Harimau Malaya, Safee Sali tersenarai dalam senarai pemain simpanan skuad terbaik Asia oleh Goal.com.
January 3, 2012 - 12:52 pm
tahniah apek