KEDUDUKAN Peter Butler sama ada akan mengendalikan skuad Terengganu atau meninggalkan negeri ini hanya akan diputuskan dalam ‘mesyuarat darurat’ Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) Ahad ini.
Presidennya, Datuk Che Mat Jusoh berkata, mesyuarat itu terpaksa diadakan ekoran pihaknya gagal mendapatkan persetujuan secara mutlak selepas mengadakan rundingan dengan jurulatih kelahiran England itu.
“Secara dasarnya, PBSNT menerima keputusan FAM (penggantungan Butler selama enam bulan tidak sah) dan kita akur dengan keputusan itu.
“Saya juga telah berjumpa Butler untuk membincangkan perkara ini, namun tidak ada sebarang persetujuan yang dicapai. Justeru, kita tunggu hasil mesyuarat itu nanti,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di sini, semalam.
Jurulatih berusia 46 tahun itu sebelum ini dikenakan hukuman gantung selama enam bulan selain berdepan tindakan pemotongan gaji dan denda sebanyak RM4,000 oleh PBSNT.
Walaupun rayuannya ditolak oleh Jawatankuasa Rayuan PBSNT, namun Jawatankuasa Tatatertib FAM membuat keputusan sebaliknya, apabila mengumumkan penggantungan jurulatih itu tidak sah kerana ia tidak dibuat mengikut prosedur yang ditetapkan oleh badan induk bola sepak negara itu.
Jelas Che Mat, buat masa ini, PBSNT masih tetap dengan keputusannya untuk tidak lagi menggaji jurulatih kelahiran England itu bagi menghadapi saingan musim depan.
“Hasrat kita masih tak berubah tapi ia bergantung kepada keadaan kalau dia (Butler) boleh terima,” katanya yang enggan menjawab mengenai spekulasi mengaitkan jurulatih itu dengan pasukan T-Team musim depan.
Dalam pada itu, Butler ketika ditemui memberitahu, beliau masih menghormati baki kontraknya selama 15 bulan bersama skuad Penyu dan berharap PBSNT dapat menyelesaikan perkara itu secara profesional.
Pada masa yang sama, beliau juga enggan berbicara lanjut ketika ditanya mengenai kemungkinan beliau akan melatih pasukan T-Team selepas ini sebaliknya akan menunggu hasil mesyuarat itu terlebih dahulu.