JIKA terus berhasrat untuk mendapatkan khidmat Norshahrul Idlan Talaha, Johor perlu menunjukkan kesungguhan.
Itu pendirian Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengenai hasrat Johor yang berhasrat melamar penyerang terbilang skuad The Red Warriors itu yang lebih popular dengan panggilan Mat Yo.
Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya sentiasa membuka pintu rundingan kepada pasukan Johor jika mereka betul-betul mahukan pemain tersebut untuk mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
Menurutnya, perkara tersebut perlulah dilakukan mengikut saluran yang betul kerana pemain ini masih mempunyai baki kontrak yang akan berakhir pada hujung tahun hadapan.
“Saya fikir isu Mat Yo ini tidak usah banyak polemik, kalau keluar berita sensasi ia tidak membantu. Di peringkat ini yang perlu mengambil tindakan ialah pihak PBNJ kerana mereka yang ingin mendapatkan khidmat pemain tersebut.
“Sebagai contoh dalam soal tebus kontrak, pemain yang perlu berbuat demikian. Namun dalam isu ini Mat Yo tidak pernah berbuat demikian. Kenyataan dalam akhbar sahaja tidak boleh diterima pakai.
“Kalau perpindahan, ia melibatkan kelab atau pasukan, tetapi jikalau kelab yang minta untuk tebus kontrak itu tidak kena dengan peraturan. Jadi lebih baik kita duduk ber bincang empat mata dan jangan bercakap melalui media dan buat perundingan antara kelab,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menziarahi keluarga seorang penyokong The Red Warriors, Ahmad Zamani Md. Salleh, 34, yang meninggal dunia akibat masalah pernafasan dan kompilasi penyakit paru-paru di kampung Kampung Bentong, Seberang Pasir dekat Kota Bharu semalam.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Naib Presiden KAFA, Datuk Rosmadi Ismail dan wakil Kelab Penyokong Bola Sepak Kelantan (KPBSK).
Ketika diminta mengulas langkah yang telah diambil oleh Norshahrul yang merayu kepada KAFA agar merestui penghijrahanya ke Johor pada musim hadapan, Annuar enggan mengulas perkara tersebut.
“Kalau saya cakap lepas, ia mendahului keadaan, orang belum pinang kita dah nak bagi anak. Saya terbuka dalam isu ini tetapi mesti ikut saluran. Lagipun Mat Yo masih ada kontrak dan dia perlu duduk bersama Kelantan sehingga tahun hadapan.” tegasnya.
Semalam Norshahrul merayu Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) agar merestui penghijrahannya ke Johor musim depan.
Norshahrul mendedahkan, dia telah menyatakan hasrat untuk menyarung jersi Harimau Selatan musim depan dan hasrat itu sudah dimaklumkan kepada pihak pengurusan KAFA sebelum ini. — Kosmo