PERSATUAN Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) menghantar surat balas tawaran yang dihantar Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) berkaitan perpindahan penyerang sensasi, Norshahrul Idlan Talaha semalam.

Presiden PBNJ, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, surat tawaran daripada KAFA itu menjurus kepada kontrak pemain tersebut dan keputusan mengenainya hanya akan dibuat pada mesyuarat Isnin ini.

Beliau berkata, segala proses dilakukan secara profesional serta mengikut garis panduan yang ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Saya ada terbaca mengenai nilai RM6 juta tetapi tidak tahu dari mana datang cerita itu. Saya tidak mahu panjangkan cerita dan kita akan selesaikan perkara ini.

“Saya rasa nilai dia tidak sebanyak itu tetapi kalau ada pihak yang cuba ambil kesempatan memang akan minta macam-macam,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Tunku Ismail berkata, PBNJ akan mencapai persetujuan dengan KAFA berkaitan isu perpindahan itu sambil menyifatkan perkara itu sebagai bukan isu besar.

“Bagi saya, jika pemain itu sudah tidak ada hati untuk bermain dengan pasukan itu, baik lepaskan sahaja. Kalau saya ada pemain, saya mahu pemain ada 100 peratus hati bermain untuk pasukan dan jika dia seperti tidak mahu bermain, baik saya lepaskan,” katanya. — Utusan

One Response to “PBNJ ikut peraturan FAM - Tunku Ismail”

  1. usin says:

    TMJ pon tak la bodoh sangat nk bayar sampai 6 juta pon.. 60 ribu tu masuk akal la ..

Leave a Reply