JDT juara liga super 2015

Kekalahan 2-1 yang dilakar Johor Darul Takzim (JDT) pada perlawanan terakhir Liga Super 2015 menentang FELDA United tidak menghalang pasukan diberi jolokan Harimau Selatan itu dinobatkan selaku juara, malam ini.

Hadir ke Stadium Majlis Perbandaran Selayang dengan misi untuk menang, sebaliknya berlaku terhadap penyandang juara itu apabila FELDA jelas tampil lebih bertenaga namun ia masih belum menghalang JDT mengekalkan kejuaraan buat kali kedua berturut-turut.

Begitupun, skuad bimbingan Mario Gomez itu harus berterima kasih kepada Terengganu yang tampil bergaya dengan menewaskan Pahang 3-1.

Kejuaraan Liga Super kali ini terpaksa ditentukan pada perlawanan terakhir selepas JDT dan Pahang masing-masing berpeluang untuk mengucup kejuaraan berprestij itu dengan kedua-duanya hanya dibezakan dua mata.

Dikuatkan dengan ribuan penyokong yang membanjiri stadium, JDT begitupun seakan gagal menyerap tekanan apabila dikejutkan dengan jaringan awal FELDA menerusi Shahrul Saad pada minit keempat.

Pelawat terus tertekan apabila terpaksa bermain 10 pemain apabila Junior Esdtal menerima kad merah dengan FELDA menambah jaringan menerusi penalti Indra Putra Mahayudin pada minit ke-11 dengan gol sagu hati JDT dijaringkan pada babak kedua menerusi Luciano Figueroa.

Gomez ketika ditemui selepas perlawanan mengakui pemainnya mengalami kesukaran apabila terpaksa beraksi 10 pemain namun kejuaraan liga tidak ditentukan dengan satu perlawanan.

“Kejuaraan lebih penting. Perlawanan ini sudah berlalu. Terima kasih kepada bos saya, dan juga pemain-pemain saya. Bagi saya, ia perlawanan yang baik namun kurang satu pemain memang menyukarkan,” kata Gomez.

Di Stadium Sultan Mizan, Pahang terpaksa menggigit jari sekalipun tampak garang di awal permainan. Selepas jaringan Dickson Nwakaeme dibatalkan pengadil perlawanan kerana mengasari penjaga gawang, Mohd Sarbinee Allawee, Pahang tampak lesu dengan Terengganu meledak gol pertama menerusi pemain import, Issey Nakajima-Farran.

Seakan tersentak dengan jaringan itu, Pahang terus ketinggalan apabila tuan rumah meledak jaringan kedua menerusi Ashaari Shamsudin pada minit ke-32.

Bersambung babak kedua, Pahang cuba melakukan kebangkitan dengan merapatkan jaringan menerusi Damion Stewart pada minit ke-47. Begitupun, kemenangan yang diharapkan bertukar duka apabila Terengganu menambah jaringan ketiga menerusi Mohd Nasril Izzat Jalil pada minit ke-66.

Dalam pada itu, Selangor mengesahkan kedudukan tempat ketiga liga selepas membenam Perak 2-0. Perlawanan lain menyaksikan PDRM membenam ATM 3-2, Lions XII menewaskan Sime Darby FC. 3-0 dengan Kelantan menewaskan Sarawak 2-3.




coded by nessus

Leave a Reply