Pendahulu Liga Super, Pahang meneruskan rentak kemenangan mereka selepas menewaskan pasukan bawahan liga, Angkatan Tentera Malaysia 2-0 di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam tadi.

Kemenangan ke-12 dilakar anak buah Zainal Abidin Hassan membolehkan pasukan itu terus menerajui carta Liga Super dengan 39 mata mata selepas 17 perlawanan, berkelebihan dua mata ke atas pencabar terdekat, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang turut mengutip tiga mata di laman sendiri.

Dalam aksi di Kuantan, Pahang mendahului seawal minit ke-15 menerusi penyerang import dari Nigeria, Dickson Nwakaeme sebelum dia menambah gol kedua pada minit ke-35 selepas menanduk masuk sepakan percuma R. Gopinathan.

Di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, JDT melakar kemenangan selesa 4-0 ke atas pasukan tercorot liga, Sime Darby.

Empat gol skuad Harimau Selatan dijaringkan pemain import dari Argentina, Luciano Figueroa pada minit ke-31 dan 68, Asraruddin Putra Omar pada akhir babak pertama dan Safiq Rahim, empat minit selepas babak kedua bermula.

Selangor pula memintas kedudukan wakil kelab Singapura, Lions XII di tangga keempat liga walaupun sekadar seri 1-1 dengan Sarawak di Stadium Negeri, Kuching.

Pemain import dari Indonesia, Andik Vermansah meletakkan skuad Gergasi Merah di hadapan pada minit ke-39 sebelum Patrick Gerhardt menyamakan kedudukan untuk Sarawak pada minit ke-75.

Terengganu pula naik satu anak tangga ke tempat keenam liga selepas mengalahkan Lions XII 4-2 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu.

Empat gol tuan rumah dijaringkan Mohd Helmi Remeli pada minit ke-10, Issey Nakajima-Farran (minit ke-26 dan 51) serta Norshahrul Idlan Talaha selang lima minit kemudian.

Lions XII meraih jaringan menerusi Madhu Mohana pada minit ke-24 dan Muhammad Hafiz Abu Sujad pada minit ke-54.

Turut meraih tiga mata adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menewaskan Perak 3-2 di Stadium Shah Alam.

Skuad ‘The Cops’ selesa mendahului 3-0 menerusi dua jaringan Ali Ashfaq pada minit ke-10 dan 68 serta Dramane Traore pada minit ke-59 sebelum Perak merapatkan defisit gol menerusi dua pemain import, Thiago Aquino dan Horace James, masing-masing pada masa kecederaan sebelum wisel penamat.

Perlawanan di antara Felda United dan Kelantan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pula berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan.

— BERNAMA




coded by nessus

Leave a Reply