Pengendali Sela­ngor, Mehmet Durakovic boleh melupakan hasrat untuk menggunakan khidmat Robert Cornthwaite dalam baki saingan Liga Super musim ini selepas pemain pertahanan itu mengalami kecederaan pada bahagian mukanya.

Cornthwaite, 29, patah tulang pipi dan terpaksa direhatkan selama empat hingga lima minggu, sekali gus menyebabkan khidmatnya tidak dapat digunakan dalam baki saingan Liga Super yang dijadual tamat pada 22 Ogos.

Situasi tersebut jelas memberi kesukaran kepada pengendali kelahiran Yugoslavia itu untuk memastikan perjalanan Selangor bagi merebut tempat teratas liga yang ketika ini dihuni oleh Pahang tidak lari daripada landasan.

Nasib Red Giants kurang baik musim ini kerana kerap dibelenggu kecederaan tonggak.

“Dalam pertemuan menentang Sarawak esok (malam ini) kami tidak dapat menurunkan dua pemain import Selangor selepas ­Leandro Dos Santos masih dalam penggantungan, manakala Robert mengalami kece­deraan. Situasi ini jelas memberi kesukaran kepada pasukan.

“Robert patah tulang pipi dan baru menjalani pembedahan hari ini (semalam). Saya terpaksa melupakan hasrat untuk menggunakan ­khidmatnya lebih awal sebab dia perlu direhatkan empat hingga lima minggu.

“Bagaimanapun, saya tidak mahu terlalu negatif kerana ini mungkin peluang terbaik untuk pemain lain merebut tempat yang ditinggalkan Robert.

“Saya perlu melihat pemain mana yang dirasakan sesuai dalam sesi latihan,” katanya.

Tambah Mehmet, dia mengi­ngatkan pasukannya agar tidak me­lakukan kesilapan mudah malam ini, sebaliknya kekal fokus dalam tempoh 90 minit permainan.




coded by nessus

Leave a Reply