Pengendali Pahang Zainal Abidin Hassan mengesahkan khidmat penyerang Dickson Nwakaeme tidak dapat digunakan pada perlawanan menentang kelab Tajikistan Istiklol FC pada suku akhir pertama Piala AFC 2015 di Stadium Republican Central, Dushanbe, jam 11 malam ini waktu Malaysia.

Perlawanan tersebut akan disiarkan secara langsung menerusi stesen TV9.

Zainal yang juga bekas pemain kebangsaan itu berkata, ketiadaan penyerang berasal dari Nigeria itu yang mengalami kecederaan begitu dirasai ketika Pahang berusaha mencatat keputusan terbaik sepanjang menyertai kejohanan Piala AFC.

“Tapi saya percaya 16 pemain yang dibawa ini akan mempamerkan prestasi terbaik mereka terutama memastikan jentera pertahanan lebih kebal untuk mengekang asakan tuan rumah.

“Saya harap tiada masalah kecederaan dihadapi pemain lain dan mereka perlu terus yakin bagi menebus kegagalan muncul juara Liga Super,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Mengulas peluang di Dushanbe, Zainal Abidin berkata, realiti menunjukkan tuan rumah adalah pasukan lebih baik tetapi mereka akan tetap berusaha untuk mencapai keputusan sekurang-kurangnya seri.

Zainal Abidin berkata, segala-galanya akan dipersembahkan sebaik mungkin untuk memastikan kejayaan buat pasukan sebagai bekalan apabila bertemu sekali lagi di Stadium Darulmakmur pada 16 September depan.

Katanya, kegagalan muncul juara Liga Super musim ini perlu dilupakan pemain kerana ia sudah menjadi sejarah dan aksi suku akhir Piala AFC perlu dimanfaatkan sebaik mungkin.

“Seperti yang dikatakan Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah (Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP), semua pemain perlu melupakan kegagalan itu sebaliknya bersedia menghadapi saingan lebih getir.

“Dengan kata-kata semangat daripada Presiden yang mahu pemain memandang ke depan, saya akan memastikan kunjungan ke Dushanbe berakhir dengan keputusan positif,” katanya.

Leave a Reply