Terengganu dijangka umum pemain minggu depan
SKUAD Penyu dijangka mengumumkan senarai penuh pemainnya minggu depan bagi mengharungi kempen Liga Malaysia yang akan datang.
Pengurusnya Marzuki Sulong berkata setakat ini jawatankuasa pemilihan skuad telah mengenal pasti beberapa pemain, namun senarai penuh akan diumum selepas tamat sesi pemilihan Khamis ini.
“Kita telah menguji tujuh pemain import manakala tiga lagi sedang mengikuti sesi pemilihan bemula dua hari lalu masing-masing dari Cameroon (Nlomgoi Yannick George) dan Republik Congo (Patrick Kanyuka).
“Seorang lagi pemain dari Brazil (Louiz Bernades) baru tiba hari ini dan akan menyertai sesi pemilihan bermula esok sehingga Khamis ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Katanya pemain import terbabit akan mengisi slot pertahanan, manakala bagi posisi penyerang, Terengganu masih berpegang pada perjanjian persefahaman yang dimeterai bersama penyerang Negeri Sembilan, Effa Owana.
Menurut Marzuki, lima pemain tempatan turut disenarai pendek untuk beraksi bersama Terengganu musim depan.
“Saya mengharapkan barisan pemain Terengganu yang bakal diumum nanti mampu menggalas tanggungjawab masing-masing seterusnya mengembalikan kegemilangan bola sepak negeri ini dengan sasaran satu piala dalam kempen Liga Malaysia,” katanya.
Terengganu sebelum ini melepaskan 10 pemain utama termasuk dua pemain importnya iaitu Francis Forkey Doe (penyerang) dan Erison Da Silva (pertahanan) yang ditamatkan kontrak.
Skuad Penyu juga mencari penjaga gol baharu bagi menggantikan Mohd Sharbinee Allawee Ramli yang dilepaskan bersama Abdul Shukur Jusoh, Joseph Kalang Tie, Reeshafiq Alwi, Abdul Hadi Yahya, Hariri Mohd Safii, Mohd Muslim Ahmad dan Md Ailim Fahmi Kamaruddin.
Antara pemain tempatan yang dikaitkan untuk beraksi bersama pasukan Terengganu musim depan ialah Syed Adni Syed Hussien (penjaga gol), Rosdi Talib (pertahanan), Faderin Kadir (penyerang) dan Shahzlan Alias (pertahanan/tengah).
- Bernama
Luahan Perasaan