Selangor, Kelantan buru Piala Sumbangsih
SELANGOR turun memburu kejuaraan Piala Sultan Ahmad Shah buat kali kesembilan di Stadium Shah Alam malam ini tatkala Kelantan pula baru pertama kali merasai bahang aksi perlawanan sumbangsih itu.
Namun ia tidak sesekali akan membuatkan Selangor mendabik dada dan leka sebaliknya mereka tetap menganggap Kelantan pasukan yang kuat berdasarkan rekod pertemuan musim lalu.
Pengurus merangkap Ketua Jurulatih Selangor, K. Devan berkata, kelebihan nyata milik Kelantan memandangkan daripada empat pertemuan musim lalu, mereka seri tiga kali dan satu lagi perlawanan menyaksikan Selangor tewas.
“Memang kebiasaannya apabila bertemu Kelantan, ia akan menghadirkan kesukaran buat Selangor. Rekod musim lalu pun berkelebihan kepada mereka.
“Apa pun Selangor cuma mengharapkan kehadiran penyokong sendiri dapat melebihi penyokong Kelantan untuk memastikan kelebihan gelanggang sendiri dimanfaatkan,” kata Devan pada sidang media di Stadium Shah Alam petang semalam.
Devan turut memberi jaminan bakal menurunkan kesebelasan terbaiknya malam ini biarpun tanpa kelibat tiga tonggak, Bunyamin Umar, Khairul Anuar Baharum dan Nasriq Baharom.
“Bunyamin belum pulih sepenuhnya, Khairul digantung tiga perlawanan manakala Nasriq mungkin akan berada dalam senarai 18 pemain.
“Untuk posisi pertahanan tengah, saya mungkin akan menggandingkan Yosri Derma Raju dan Asraruddin Putra Omar atau Yosri dan Nasriq. Saya akan tentukan selepas melihat sesi latihan terakhir petang ini (semalam),” jelasnya.
Perlawanan antara Selangor dan Kelantan itu juga dikira pungutan matanya untuk saingan Liga Super dan jika perlawanan berakhir dengan seri, kedua-dua pasukan akan berkongsi satu mata.
Namun tiada aksi masa tambahan 30 minit, sebaliknya penentuan sepakan penalti akan terus dibuat selepas 90 minit masa sebenar permainan untuk menentukan pemenang Piala Sultan Ahmad Shah 2011.
Kosmo
Luahan Perasaan