Selangor menang selesa

SELANGOR berjaya memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila mudah menewaskan Johor 3-1 pada suku akhir pertama Piala FA di Stadium Shah Alam malam tadi. [LIHAT VIDEO]

Terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama, Selangor membuka tirai jaringan menerusi tolakan Hardi Jaafar yang mudah mengatasi tiga pertahanan Johor pada minit ke-49.

Hanya selang enam minit kemudian, Selangor menambah gol kedua menerusi penyudah kemas Rudie Ramli hasil hantaran Amirul- hadi Zainal dari sebelah kanan.

Selangor terus selesa dengan gol ketiga hasil rembatan jarak dekat Amri Yahyah selepas memperdaya pertahanan Johor untuk menewaskan penjaga gol, Amirul Abu Seman pada minit ke-71.

Namun, kelalaian benteng pertahanan Selangor dihukum Johor yang memperoleh gol sagu hati pada minit ke-77 menerusi rembatan kencang Alif Yusof yang gagal diselamatkan Iqbal Suhaimi.

“Selepas 3-0, saya nampak seba- hagian pemain gagal menunjukkan kesungguhan seperti biasa tetapi yang penting kita dapat bekalan dua gol untuk ke Larkin, Sabtu ini,” kata jurulatih Selangor, K Devan.

Jurulatih Johor, Azmi Mohamed pula berkata: “Kami hilang konsentrasi pada babak kedua terutama di bahagian kiri tetapi saya tetap yakin kami mampu bangkit pada aksi kedua nanti.”

Di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu, Felda United berjaya mengikat tuan rumah, Kelantan 2-2 hasil jaringan penyamaan Liew Kit Kong menerusi sepakan penalti pada minit ke-90.

Felda United terlebih dahulu di hadapan pada minit ke-31 menerusi jaringan Zamri Chin sebelum berjaya disamakan kapten Kelantan, Badhri Radzi pada masa kecederaan babak pertama.

Kelantan terus garang dengan gol kedua menerusi Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-69 tetapi penalti Kit Kong memusnahkan hajat mereka untuk meraih kemenangan.

Di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Kuala Lumpur yang menjadi tuan rumah aksi pertama, tewas 1-2 kepada Pahang.

Pahang mendahului pada minit ke-35 menerusi jaringan Famirul Asyraf Sayuti sebelum disamakan Kuala Lumpur hasil sepakan penalti Ahmad Azlan Zainal minit ke-53.

Gol kemenangan Pahang diperoleh pada minit ke-65 menerusi Azamuddin Akil. — KOSMO

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>