CORAK berbeza yang dipamerkan pada separuh kedua menyaksikan Pahang mara ke suku akhir Piala FA dengan menewaskan PKNS FC 3-1 di Stadium MBPJ.

Gol Pahang dijaringkan Fazli Baharudin dan dua gol Famirul Asraf Sayuti untuk memadam gol awal PKNS yang dijaringkan Ahmad Shahril Zakaria.

Bagaimanapun, penyokong Pahang terpaksa menanti penuh debaran selepas pasukan itu tenggelam dalam aksi babak pertama yang menyaksikan penjaga gol, Suffian Abdul Rahman menafikan beberapa percubaan menarik tuan rumah.

Percaturan Dollah Salleh yang meletakkan dua pertahanan, Mohd Munir Amran dan Nazrulerwan Makmor di bangku simpanan nyaris memakan diri selepas gol Ahmad Shahril.

Pahang jelas mempamerkan kebangkitan watak berbeza dengan corak lebih garang pada babak kedua.

Sejurus selepas tiga minit perlawanan bersambung, Fazli mencipta kebangkitan buat Tok Gajah menerusi rembatan dari luar kotak penalti.

Kira-kira 10 minit kemudian, gawang skuad kendalian Abdul Rahman Ibrahim itu bergegar lagi.

Tandukan Famirul Asraf berpunca daripada sepakan penjuru yang diambil Azamuddin Akil membolehkan Pahang memimpin perlawanan buat pertama kali.

Perlawanan menjadi agak seimbang apabila kedua-dua pasukan saling memburu gol. Namun PKNS FC harus menyalahkan diri sendiri kerana gagal menyamakan kedudukan.

Khairul Akhyar terlepas peluang keemasan apabila dia secara tidak sengaja tertanduk keluar bola cubaan rakan sepasukannya tatkala gawang pelawat sudah terbuka luas.

Tok Gajah sekali lagi memanfaatkan gerakan mirip gol kedua mereka untuk melunturkan sisa perjuangan lawan di penghujung permainan.

www.Arena.my




coded by nessus

Main topics: Piala FA

Sub topics: , , ,


Readers Comments (0)