Piala FA: Terengganu terpaksa lupakan Owona
Separuh Akhir Piala FA 2013
Hasrat Terengganu untuk menurunkan ‘ayam tambatan’ yang juga penjaring terbanyak Liga Super musim lalu, Jean Emmanuel Effa Owona dalam saingan separuh akhir pertama Piala FA bertemu Kelantan, malam ini tidak kesampaian apabila pemain itu belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan.
Ketiadaan penyerang import dari Cameroon itu sudah pasti memberi tamparan hebat buat skuad Penyu yang berazam mengulangi kejayaan menundukkan Kelantan, 2-1 di final Piala FA, dua musim lalu.
Pengurus Terengganu Marzuki Sulong berkata, ketiadaan Owona merisaukan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) yang mengharapkan pemain itu cepat pulih untuk diturunkan.
Menurutnya, penting buat Terengganu mencari bekalan bagi menewaskan pasukan jiran itu sebelum bermain di laman sendiri dalam perlawanan timbal balik 28 Mei ini.
“Owona sudah berada di Kuala Terengganu sejak beberapa hari lalu, namun dia belum cergas serta pulih sepenuhnya untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama.
“Sebelum ini kita jangkakan dia sempat pulih namun berdasarkan perkembangan terkini, pemain itu mungkin terpaksa disisihkan,” katanya. Bagaimanapun, ketiadaan pemain tinggi lampai itu tidak akan menjejaskan peluang Terengganu kerana ada beberapa pemain seperti Mohd Ashari Shamsudin, Abdul Manaf Mamat, Mohd Khairul Ramadhan Zauwawi dan Farderin Kadir yang mampu menggalas tugas.
Owona patah tangan kanan akibat diterjah keras penjaga gol FELDA United, Mohd Helmi Eliza Alias pada pertemuan yang menyaksikan Terengganu menang 2-1, April lalu.
Luahan Perasaan