Nurul Azwan Roya perkuat PDRM
Nurul Azwan Roya pemain baru PDRM 2015
SKUAD Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah bersedia menghadapi saingan Liga Super 2015 dengan kehadiran beberapa pemain baharu.
PDRM kini sudah memulakan persiapan bagi mewujudkan keserasian antara pemain baharu dan lama dalam usaha mereka mengekalkan rentak cemerlang seperti yang dipamerkan ketika muncul juara Liga Perdana 2014.
Menurut Jurulatih PDRM, Azman Adnan, kemasukan beberapa pemain baharu seperti Lot Abu Hassan, Mohd Faizal Abu Bakar, Nurul Azwan Roya, Saiful Amar Sudar dan Shahurain Abu Samah dilihat mampu menampung kelemahan yang ada dalam skuad Sang Saka Biru itu.
“Kami sudah menjalankan persediaan rapi dan beberapa program telah dirancang untuk mencapai tahap keserasian dalam kalangan pemain yang ada sekarang.
“Untuk musim hadapan, kami akan pastikan skuad PDRM menjadi satu pasukan yang mampu memberi saingan kepada mana-mana pasukan dalam Liga Super,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Dalam pada itu, Azman turut memantau prestasi beberapa pemain daripada skuad Piala Emas Raja-Raja PDRM untuk diserapkan dalam skuad utama PDRM.
“Kita melihat ramai pemain yang berkualiti yang boleh digilap lagi bakat mereka untuk pergi lebih jauh., dan ketika ini kami tengah melakukan pemantauan terhadap prestasi mereka dan jika mereka benar-benar layak, kami bersedia untuk menyerap mereka dalam skuad utama PDRM,” jelasnya.
Luahan Perasaan