Terengganu hormati Pahang
Siaran Langsung Astro Arena malam ini
TERENGGANU belum mahu memikirkan tempat ke final Piala FA meskipun diletakkan sebagai pilihan untuk memenangi pertemuan separuh akhir pertama menentang Pahang malam ini.
Tumpuan mereka adalah untuk selesaikan aksi separuh akhir ini sebaik mungkin.
Pengendali Terengganu, Irfan Bakti mengingatkan anak- anak buahnya agar tidak memandang rendah pertemuan di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam ini.
Menurut Irfan, sekalipun Pahang berada dalam kelompok tercorot Liga Super, ia bukan jaminan untuk pemain-pemainnya mendabik dada dan berasa terlalu yakin.
“Saya mengingatkan para pemain agar tidak mengambil mudah aksi ini sekalipun Pahang gagal beraksi dengan baik sejak kebelakangan ini.
“Piala FA dan Liga Super adalah dua pertandingan yang berbeza. Apa sahaja boleh berlaku pada aksi kalah mati dan sebab itu saya tidak mahu kami menjadi mangsa,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Jelasnya lagi, kekalahan 1-2 kepada Johor FC dalam kempen Liga Super baru-baru ini juga perlu dijadikan pengajaran agar semua pemain tidak hilang fokus sepanjang 90 minit permainan.
Pada aksi di Johor Bahru itu, kealpaan para pemain skuad Penyu jelas mengundang padah apabila tuan rumah berjaya memperoleh dua gol dalam tempoh tiga minit.
“Pemain amat keletihan dan saya akui hakikat ini sehingga menyebabkan kami tewas di Johor Bahru. Namun saya tidak mahu pemain hilang kosentrasi terutamanya apabila beraksi di gelanggang lawan,” katanya.
Mengenai sasaran pada perlawanan menentang Pahang malam ini, Irfan menjelaskan, beliau tidak mahu terlalu memikirkan soal jaringan tetapi mahu mencatatkan kemenangan.
“Kalau para pemain bermain mengikut kemampuan mereka, saya yakin kami mampu mena- matkan kemarau kejuaraan selama 10 tahun dengan memenangi gelaran Piala FA ini.
“Jadi saya mahu pemain memenangi perlawanan esok (malam ini) kerana ia akan memberi suntikan semangat kepada kami menjelang perlawanan kedua di Kuala Terengganu minggu depan,” katanya lagi.
Kali terakhir Terengganu bergelar juara adalah pada tahun 2001 ketika muncul juara Piala Malaysia.
Sementara itu, Irfan menjelaskan yang beliau akan menurunkan barisan terbaiknya pada perlawanan malam ini termasuk menyenaraikan semula bintang tengah kebangsaan, Ashaari Shamsudin yang sebelum ini direhatkan ketika pertemuan dengan Johor FC.
“Semua pemain sudah bersedia dan mereka tahu apa yang perlu dilakukan untuk memenangi perlawanan ini. Apa yang tinggal hanyalah fokus dan semangat untuk berjuang,” jelasnya.
Luahan Perasaan