Irfan Bakti hilang kata-kata aksi Red Giants

PKNS 2-0 Selangor
RUDIE Ramli menjadi pemusnah impian Selangor untuk meraih tiga mata penuh.

‘RAJUK dalam diam’ pengendali Selangor, Irfan Bakti Abu Salim sememangnya bukan dibuat-buat.

Selain ‘berserabut’ memikirkan masalah ketumpulan penyudah jentera serangan Gergasi Merah yang masih belum ternoktah, tewas 0-2 di tangan ‘adik’ sendiri, Selangor PKNS dalam saingan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya malam kelmarin juga mengundang kemurkaan Irfan.

Meskipun tidak menyalahkan seratus peratus kekalahan kelmarin kepada barisan pemainnya, Irfan begitupun menuntut supaya pemain Selangor kembali bangkit mempamerkan kejantanan ketika melayan kunjungan pendahulu liga, Kelantan di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam esok.

“Sejujurnya, saya sendiri tidak tahu nak kata apa apabila kami tewas ketika berdepan PKNS walaupun menguasai sebahagian besar permainan.

“Inilah bola sepak, macam-macam boleh berlaku. Saya harap pemain Selangor dapat melupakan kekalahan memilukan ini dan menebusnya semula ketika berdepan Kelantan nanti (malam esok),” katanya.

Dalam perlawanan itu, dua gol PKNS dijaringkan oleh bekas pemain Merah Kuning, Rudie Ramli pada minit ke-35 dan juga Helmi Remeli pada minit ke-61.

Ia merupakan kemenangan pertama skuad bimbingan Abdul Rahman Ibrahim dalam saingan Liga Super musim ini selepas seri lima kali dan tewas sekali sebelum ini sekali gus mengutip lapan mata, satu mata di belakang Selangor.

Sementara itu, ini merupakan kekalahan kedua Gergasi Merah selepas turut tewas kepada Felda United sebelum ini.

Menurut Irfan, keghairahan anak buahnya melakukan asakan bertali-arus dalam perlawanan itu juga mengundang padah apabila dihukum serangan kilat pemain PKNS.

“Sebelum perlawanan, saya sudah ingatkan pemain supaya berhati-hati memandangkan barisan pemain PKNS yang rata-ratanya merupakan bekas pemain Piala Presiden Selangor pastinya mahu membuktikan sesuatu dalam perlawanan itu.

“Tidak mengapalah, ini pengajaran berguna yang diperolehi pemain saya dan saya pasti mereka akan membuktikan sesuatu ketika menentang Kelantan nanti.

“Malah, saya juga berharap masalah Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) yang membelenggu pemain import dari Croatia, Bosko Balaban dapat diselesaikan esok (hari ini) sebelum dapat diturunkan ketika berdepan Kelantan,” katanya. — Kosmo

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>