TIADA yang lebih manis buat Perlis selepas menamatkan penantian kemenangan musim ini dengan mengejutkan Negeri Sembilan 3-2 di Stadium Utama Negeri di Kangar, semalam.

Kejayaan di gelanggang sendiri, biarpun hanya disaksikan sebahagian kecil penyokong setia, dianggap cukup bermakna buat barisan hampir 100 peratus tenaga muda dan baru Singa Utara bimbingan ketua jurulatih, Salim Tofel Mohamad.

Katanya, tanpa kerjasama, semangat juang dan kesungguhan tinggi sepanjang permainan, pasti sukar berdepan lawan yang lebih berpengalaman dan diperkuatkan beberapa pemain bertaraf bintang.

“Kami bersyukur akhirnya impian untuk keluar daripada kemelut tanpa kemenangan tercapai selepas 12 perlawanan,” kata bekas pengendali Perlis 2001 dan 2002 itu sebaik Singa Utara membenam barisan Azraai Khor Abdullah yang terlebih dulu menggegar gawang menerusi Mohd Firdaus Azizul pada minit ke-27.

Perlis enggan mengalah dan usaha menyamakan kedudukan hadir apabila pengadil, Sew Tian Hu menghadiahkan sepakan penalti selepas Mohd Faiz Subri dijatuhkan pada minit 44, sebelum menambah dua gol menerusi pemain skuad Piala Presiden, Mohd Rizal Ghazali pada minit ke-68 dan 74.

Ketika mula mengendurkan serangan, pemain gantian Negeri Sembilan G Mahathevan mencuri peluang menewaskan penjaga gol Mohd Amirul Rosli pada masa tambahan.

Salim berkata, biarpun menang, masih terdapat banyak kelemahan yang perlu ditangani pasukan itu termasuk masalah ketumpulan barisan depan yang membataskan usaha mencari jaringan.

“Namun kemenangan ini menjadi bekalan dan pembakar semangat berguna buat pemain untuk berdepan juara Piala Malaysia, Kelantan pada perlawanan terakhir pusingan pertama di gelanggang sama, Selasa ini (esok),” katanya.




coded by nessus

Main topics: Liga Super

Sub topics: , ,


Readers Comments (0)