Perak, Terengganu sama liat
TERENGGANU mengikat Perak 1-1 di Stadium Perak, Ipoh malam tadi untuk kekal di tangga kedua Liga Super di belakang Selangor yang mengukuh kedudukan selepas kemenangan tipis 1-0 ke atas Sabah di Stadium Shah Alam.
Kegembiraan Seladang yang mendapat gol pendahuluan Shafiq Jamal pada minit kelapan dilenyapkan langsung dengan jaringan penalti Abdul Hadi Yahya pada minit ke-59.
Kegagalan meraih tiga mata itu membuka ruang buat Kelantan memintas Seladang di tangga ketiga setelah Wira Merah membelasah Perlis 5-1 di Stadium Utama, Kangar.
Jaringan hatrik ketua pasukan, Mohd Badri Radzi pada minit ke-46, 66 dan 78 serta dua gol Norshahrul Idlan Talaha (m-6 dan 43) melonjakkan skuad M Karathu dengan 24 mata, satu mata di belakang Terengganu.
Kemenangan 2-1 ke atas Kuala Lumpur di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pula membawa Felda United ke tempat keenam liga sambil memintas Harimau Muda A hasil dua jaringan Azrul Ahmad pada minit keenam dan 12.
Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, T-Team sekadar seri 1-1 bertemu Johor FC selepas pemain pertahanan tuan rumah, Mohd Shahru Ezan Shamsudin menanduk masuk gol pembukaan minit ke-10, sebelum pelawat menyamakan kedudukan menerusi Shahrizal Mohd Saad (m-48).
Di Stadium Darulmakmur, Kuantan perlawanan antara Pahang dan Negeri Sembilan juga berkesudahan dengan keputusan 1-1.
Idris Karim membuka jaringan pada minit ke-10 sebelum pemain Pahang, Famirul Asraf Sayuti menyumbat gol penyamaan pada minit ke-79.
April 20, 2011 - 10:46 am
terima kasih kerana seri….he he he