Forkey Doe wira Terengganu
FRANCIS Forkey Doe membuktikan kehadirannya di Terengganu begitu berharga dengan meledakkan gol tunggal perlawanan dalam pertemuan dengan Lions XII di Stadium Jalan Besar malam tadi.
Namun mereka menempuhi detik cemas pada 25 minit perlawanan berlangsung untuk menyesuaikan diri dengan padang rumput tiruan. Tidak banyak yang dapat dilakukan Sang Penyu ketika bahagian tengah dikuasai oleh pasukan bimbingan V Sundramoorthy.
Tuan rumah mengambil kesempatan itu untuk mengaturkan asakan bertali-arus yang menyaksikan gawang pelawat diuji seawal minit kelima apabila Shaiful Esah diberi ruang untuk melepaskan rembatan deras.
Perlawanan bagaimanapun terhenti hampir 10 minit akibat kegagalan salah satu daripada tiang lampu limpah berfungsi.
Tempoh itu digunakan sebaik mungkin oleh jurulatih Sang Penyu, Mat Zan Mat Aris dan sebaik permainan bersambung, Terengganu mula beraksi dengan lebih kemas dan mencipta beberapa peluang menarik.
Frankey Doe tidak memiliki peluang pada awal permainan ekoran dirantai kemas pertahanan lawan namun beberapa kali berpeluang melepaskan rembatan dari jarak jauh.
Sebelum pemain menuju ke bilik persalinan, Abdul Manaf Mamat menjerit meminta penalti selepas lariannya tersekat akibat diapit dua pemain lawan.
Awal separuh masa kedua berlangsung dengan lebih rancak dan kedua-dua pasukan memiliki peluang seimbang.
Kemasukan Agu Casmir pada minit ke-59 untuk menajamkan bahagian serangan Lions XII bagaimanapun terus tidak menjadi walaupun menerima acap menerima umpanan cantik daripada kapten pasukan, Shahril Ishak.
Pada minit ke-78, Terengganu akhirnya membuatkan sebilangan kecil penyokong mereka di Singapura melonjak kegembiraan apabila Frankey Doe bijak menghukum kesilapan pertahanan lawan.
Pemain import dari Liberia itu memperdaya seorang pertahanan sebelum menghayunkan kaki kirinya untuk bola melepasi jangkauan Izwan Marbus.
Jika separuh masa pertama Muslim Ahmad menjadi tumpuan hasil daripada kerja kerasnya mengekang asakan lawan, Shukor Jusoh pula menjadi nadi di barisan tengah Terengganu.
Walaupun ketinggalan, Lions XII tidak menampakan tanda-tanda untuk bangkit berikutan membiarkan pemain Terengganu lebih banyak melakukan hantaran-hantaran untuk mengukuhkan kedudukan mereka. — Arena.MY
Luahan Perasaan