KELANTAN terus mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu liga setelah mengalahkan Negeri Sembilan dengan kemenangan 3-0 dalam aksi perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam tadi.

Namun kemenangan malam tadi terpaksa dibayar dengan harga yang mahal setelah penyerang muda yang sedang meningkat naik, Muhammad Ramzul Zahini Adenan terpaksa diusung keluar kerana mengalami kecederaan serius setelah bertembung dengan Ketua Pasukan Negeri Sembilan, Mohd Shukor Adan pada pertengahan babak kedua.

Beraksi dihadapan hampir 25,000 penyokong setia, walau bagaimanapun tiada jaringan dilakukan pada aksi separuh masa pertama setelah kedua-dua pasukan dilihat menampilkan corak permainan lebih berhati-hati sepanjang tempoh tersebut.

Seawal minit ketiga, Kelantan terlebih dahulu menguji pintu gol Negeri Sembilan menerusi sepakan percuma Mohd Nurul Azwan Roya tetapi pantas ditanduk keluar Mohd Shukor dan rembatan susulan Mohd Daudsu Jamaluddin melambung tinggi melepasi pintu gol.

Pada minit keenam, giliran pasukan pelawat mencemaskan pintu gol Kelantan apabila sepakan lambungan pemain veteran, Idris Abdul Karim ke dalam kotak penalti sempat ditanduk ke belakang oleh Mohd Firdaus Azizul namun rembatan kencang Ahmad Fakri Shaarani jauh tersasar daripada pintu gol Kelantan.

Selang seminit kemudian, Kelantan nyaris memperolehi gol pertama apabila tandukan cantik Ketua Pasukan, Muhd Badhri Radzi hasil hantaran lintang S Chanturu diselamatkan penjaga gol, Mohd Farizal Marlias.

Pada m-10, penyerang muda kebangsaan, Ahmad Fakri yang berjaya melepasi benteng pertahanan Kelantan sekali lagi hampir menewaskan Khairul Fahmi Che Mat namun sepakannya menerjah jaring sisi kanan pintu gol Kelantan.

Sementara itu, dua percubaan pasukan pelawat pada m-22 dan 24 perlawanan menerusi Mohd Aidil Zakuan Adha Abdul Razak dan Idris Karim sekadar tersasar sebelah kiri pintu gol Kelantan .

Pada m-28, Norshahrul Idlan Talaha turut mensia-siakan peluang terhidang apabila teragak-agak untuk melakukan rembatan biarpun hanya berhadapan dengan Mohd Farizal setelah dia berjaya melepasi perangkap ofsaid yang dilakukan pertahanan Negeri Sembilan.

Pada m-40, Mohd Nurul Azwan turut melakukan gerakan menarik daripada sebelah kanan pintu gol Negeri Sembilan sempat melepaskan rembatan namun mudah diselamatkan Mohd Farizal.

Kelantan tidak perlu menunggu lama untuk memperolehi gol pendahuluan sebaik sahaja babak kedua bersambung. Pada m-49, pemain yang terkenal dengan jolokan ‘Kelantan Ekspres’, S Chanturu mudah menanduk masuk hasil tandukan silang Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid berpunca daripada sepakan percuma oleh Mohd Nurul Azwan sebelum itu.

Ternyata gol tersebut merubah corak permainan Kelantan yang kembali bermain lebih agresif malahan dua peluang terbaik hadir pada m-54 menerusi rembatan Mohd Nurul Azwan yang terbias pertahanan Negeri Sembilan manakala rembatan kencang Mohd Shakir Shaari seminit selepas itu sedikit tersasar sebelah kanan pintu gol Negeri Sembilan.

Tertekan dengan gol tersebut, Negeri Sembilan membuat pertukaran pemain dengan memasukkan Mohd Zaquan Adha Abdul Razak menggantikan Mohd Firdaus Azizul bagi menguatkan jentera serangan mereka. Pada m-67, Mohd Zaquan Adha mempunyai peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan namun rembatan jarak dekatnya tinggi melepasi pintu gol Kelantan.

Pada m-74, suasana stadium kembali bergegar dengan sorakan padu penyokong setia apabila Norshahrul Idlan menjaringkan gol kedua untuk Kelantan. Segalanya berpunca apabila hantaran pendek pemain gantian, Muhammad Khalid kepada Norshahrul Idlan di dalam kotak penalti disudahi dengan rembatan kencang menewaskan Mohd Farizal buat kali kedua.

Pada m-80, Norshahrul Idlan sekali lagi membuktikan dia merupakan penyerang terbilang kebangsaan ketika ini apabila menjaringkan gol kedua peribadinya dalam perlawanan malam tadi.

Bijak bermain cantik dengan bertukar hantaran dengan Muhamad Khalid didalam kotak penalti Negeri Sembilan, sepakan lambung Norshahrul Idlan akhirnya memerangkap Mohd Farizal untuk memastikan derita anak didik Wan Jamak Wan Hassan akhirnya berpanjangan.

Tiga percubaan terbaik Negeri Sembilan menerusi percubaan Mohd Zaquan Adha dan Ahmad Aminudin Shahirudin mudah diselamatkan Khairul Fahmi pada minit-minit akhir perlawanan untuk menutup tirai kemenangan bergaya Kelantan ke atas musuh tradisinya itu.




coded by nessus

Main topics: Liga Super

Sub topics: , , ,


Readers Comments (0)