Norizan kenal pasti kelemahan Perak
PEMAIN skuad Seladang perlu memperbaiki permainan bagi memastikan kemenangan pada baki perlawanan dalam saingan Liga Super akan datang.
Ketua jurulatihnya, Norizan Bakar berkata, biarpun berpuas hati kerana berjaya membawa satu mata ke Ipoh, masih banyak yang perlu diperbaiki serta diperkemas menjelang perlawanan seterusnya.
Menurut jurulatih berpengalaman itu lagi, tempoh masa sehari dua ini bakal digunakan sebaiknya bagi membaiki mana-mana kelemahan tersebut.
“Kita akan perbaiki beberapa kelemahan dalam masa sehari dua ini.
“Bagaimanapun, saya tidak dapat komen lebih lanjut kerana kita baru sahaja selesai perlawanan pembukaan menentang Kuala Lumpur,” katanya.
Pada perlawanan pembukaan Liga Super 2011 itu, Perak mencatat keputusan seri 1-1 ketika menentang Kuala Lumpur di Stadium Bolasepak, Cheras, malam kelmarin.
Kuala Lumpur mengejutkan Perak seawal minit ke-11 separuh masa pertama, apabila Mohd Badrul Hisyam Azmi menjaringkan gol pembukaan hasil rembatan deras dari dalam petak penalti yang menewaskan penjaga gol Perak, Nasril Nourdin.
Tersentak dengan gol berkenaan, kesebelasan Perak bingkas mengatur gerak bagi mencari gol penyamaan dan nyaris menyamakan kedudukan apabila dianugerahkan sepakan penalti setelah Akmal Rizal dijatuhkan dalam petak penalti.
Bagaimanapun, sepakan penyerang sensasi, Akmal Rizal Rakhli tersasar dan Kuala Lumpur kekal memimpin permainan sehingga tamat separuh masa pertama.
Permainan babak kedua mula menampakkan perubahan pada corak permainan kesebelasan Perak apabila melancarkan beberapa gerakan-gerakan berbahaya ke kubu Kuala Lumpur dan penyerang Perak, Shafiq Jamal berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-67.
Gol berkenaan nyata menyemarakkan lagi semangat pemain skuad Kejor Yob Kejor yang terus melancarkan serangan bagi mencari gol kemenangan.
Bagaimanapun, kesebelasan Kuala Lumpur terus kental bertahan bagi menghadiahkan satu mata berharga kepada kedua-dua pasukan.
Perak akan menanti kunjungan Johor FC dalam perlawanan kedua Liga Super malam esok.
Luahan Perasaan