Nasib pemain digantung tidak bertali
Tiga pemain yang mewakili sebuah pasukan terkenal dari Pantai Timur diibarat digantung tidak bertali oleh persatuan bola sepak negeri berkenaan apabila nama mereka tiada dalam perancangan bagi menghadapi musim 2015 walaupun masih mempunyai baki kontrak setahun.
Malah, hingga hari ini mereka langsung tidak dipanggil oleh pihak pengurusan untuk berbincang mengenai status sebenar mereka bersama pasukan itu sedangkan tarikh tutup pendaftaran pemain untuk musim 2015 hanya tinggal sehari sahaja.
Sumber yang rapat dengan pemain-pemain itu berkata, tiga pemain itu hanya mengetahui nama mereka tiada dalam perancangan asal pasukan itu sebelum ini melalui maklumat senarai nama pemain yang dimuat naik ke akaun Facebook rasmi persatuan itu bersama tiga pemain lain.
Kemudian, selepas usaha memancing pemain yang dirasakan lebih berkualiti gagal, beberapa rakan mereka yang sebelum ini mahu digugurkan kembali disenaraikan untuk melengkapkan senarai akhir 26 pemain namun nama mereka bertiga terus tercicir.
Sumber rapat dengan tiga pemain yang digantung tidak bertali itu berharap persatuan bola sepak negeri terbabit menghormati kontrak yang telah dimeterai antara mereka walaupun sudah mempunyai pemain mencukupi bagi bersaing pada musim 2015.
“Pada majlis pengumuman rasmi pemain oleh pasukan itu baru-baru ini, pemain-pemain ini tetap disuruh melapor diri dan mereka fikirkan mereka masih dalam perancangan memandangkan masih ada kontrak selama setahun.
“Namun, selepas mereka datang, mereka disuruh balik pula dan apabila ditanya mengenai status sebenar mereka, mereka bertiga hanya mendapat jawapan tidak tahu daripada salah seorang pegawai.
“Mereka akhirnya mengetahui nama mereka tiada dalam perancangan jurulatih pasukan. Ini membuatkan mereka berasa bimbang kerana tarikh tutup pendaftaran adalah pada 5 Disember (Jumaat), mana sempat mereka nak mencari pasukan baharu,” kata sumber itu, yang enggan mendedahkan nama-nama pemain terbabit.
Sumber berkenaan berkata, pemain-pemain itu kini mengharapkan pengurusan pasukan agar bersikap lebih profesional dengan memberitahu lebih awal jika tidak mahu menyambung khidmat mereka dan membayar pampasan.
“Sepatutnya perancangan lebih awal dilakukan dan pemain-pemain yang tidak dimahukan lagi dimaklumkan supaya mereka berpeluang mencari pasukan baharu.
“Ini tidak. Ini ibarat habis madu, sepah dibuang, fikirkanlah juga periuk nasi pemain-pemain ini apabila tindakan sebegini dilakukan. Ini tindakan yang tidak profesional.
“Pemain-pemain ini berpegang pada kontrak namun pihak majikan pula langsung tidak mempedulikan mereka selepas berjaya mendapatkan pemain-pemain yang lebih berkualiti,” katanya.
Pingback: KAFA nafi pemain digantung tak bertali | Sokernet
Pingback: Gantung tak bertali: Hairuddin nasihat selesai cara baik | Sokernet