N.Sembilan, Pahang langkah kanan

JUARA Piala FA dan naib juara Piala Malaysia musim lalu, Negeri Sembilan mengorak langkah kanan pada aksi pembukaan Liga Super 2011 dengan menumpaskan Harimau Muda A 1-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban, malam tadi.

Biarpun menunggu sehingga baki tiga minit permainan, anak buah Wan Jamak Wan Hassan terselamat dengan jaringan tunggal Shaffik Rahman, sekali gus menghampakan skuad Bawah 22 negara untuk mencuri satu mata.

Tiga mata turut digenggam satu lagi pasukan tuan rumah, Pahang selepas menumpaskan Perlis 3-1 di Stadium Darul Makmur, Kuantan hasil jaringan Saiful Nizam minit ke-14, sepakan penalti R Surendren (42) dan Mohd Alafi Mahmud (73).

Namun, Singa Utara sempat mengejutkan Tok Gajah yang diterajui Dollah Salleh dengan jaringan pendahuluan oleh bekas pemain Kedah, Samransak Kram pada minit ke-10.

Di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, tuan rumah terlepas tiga mata apabila diikat Perak 1-1 biarpun mendahului menerusi Mohd. Badrul Hisyam Azmi pada minit ke-12 sebelum disamakan oleh Shafiq Jamal, minit ke-66.

Tiga keputusan seri tanpa jaringan pula tercatat dalam perlawanan Terengganu-Sabah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu; Johor FC-Felda United di Stadium JCorp, Pasir Gudang dan Kedah-T-Team di Stadium Darulaman, Alor Setar.

Di Stadium Shah Alam, Juara Piala Malaysia 2010, Kelantan menewaskan juara bertahan Liga Super, Selangor 2-0 untuk membawa pulang tiga mata penuh ke Kota Bharu sekali gus menjulang trofi Piala Sultan Ahmad Shah buat julung kali.

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>