Perak, Kelantan, Terengganu bersaing sengit rebut kedudukan teratas Liga Super

  • Kelantan vs Terengganu
  • LIVE Astro Arena (8.45 mlm)

SELEPAS kempunan memungut mata penuh ketika bertandang ke Kota Kinabalu (Rabu lalu), skuad The Red Warriors berpeluang mengatasi kekecewaan itu di hadapan penyokong sendiri di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam ini.

Namun, apa yang pasti rentak perjuangan Kelantan untuk memungut mata tidak semudah yang disangka apabila mereka turun berdepan musuh tradisi, Terengganu.

Pertembungan dua gergasi Pantai Timur yang sentiasa menjadi tumpuan sejak sekian lama bakal membuktikan siapa lebih jaguh selepas kedua-dua pasukan itu hanya dipisahkan dengan satu mata dan masing-masingnya menghuni tangga kedua dan ketiga liga ketika ini.

Tetapi dengan rekod bersih masih belum kalah, Kelantan dilihat ada sedikit kelebihan walaupun Terengganu hadir dengan penyerang import berbisa mereka, Francis Forkey Doe berbanding import Kelantan, Mohammad Ghaddar yang masih tumpul

  • Kedah vs Sabah
  • LIVE TV1 (8.45 mlm)

PASUKAN Kenari mula mendapat suntikan semangat apabila mencatat kemenangan sulung selepas mengharungi enam perlawanan Liga Super.

Namun kemenangan tipis 1-0 ke atas Kuala Lumpur pada Rabu lepas belum boleh menjadi kayu pengukur bagi kebangkitan Skuad Hijau Kuning. Tentunya aksi menentang Sabah di Alor Setar malam ini tidak boleh dipersiakan oleh Kedah sebagai medan untuk mengutip mata penuh.

Sabah pula mempamer aksi bersemangat dan hampir menewaskan juara bertahan, Kelantan di Likas dan momentum itu mahu diteruskan oleh Sang Badak untuk mengecewakan Kenari malam ini.

  • Lions XII v Negeri Sembilan
  • Siaran Tertunda Astro Arena (11.30 mlm)

AZRAAI Khor mahu anak buahnya meneruskan momentum kemenangan ke atas T-Team Rabu lalu dengan mempamer aksi terbaik ketika berkunjung ke Stadium Jalan Besar untuk bertemu Lions XII.

Jurulatih itu tidak mahu Skuad Jang berputih mata pulang dengan tangan kosong dan mahu pemain berusaha lebih keras membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata.

Pengendali berpengalaman itu berharap gandingan Effa Owona-Shakir Ali meneruskan aksi mantap mereka apabila masing-masing sudah mengumpul empat gol setakat ini.

  • T-Team v Perak

AKSI di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini memberi makna besar buat pendahulu, Perak yang berazam untuk memanjangkan tempoh berada di tangga teratas Liga Super apabila berdepan tuan rumah, T-Team.

Skuad Norizan Bakar tampak semakin mantap sejak beberapa perlawanan lalu dan momentum kemenangan itu mahu diteruskan dengan membenam Penyu Muda di depan penyokong mereka sendiri.

  • PKNS FC v Selangor

GERGASI MERAH, Selangor tidak lagi boleh keciciran tiga mata berharga. Jika skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim benar-benar berhajat mahu menjulang Liga Super musim ini, ada baiknya mereka kembali bangkit mencatatkan kemenangan ketika berdepan cabaran Selangor PKNS dalam aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam ini.

Sudah pasti, masalah ketumpulan jentera serangan Merah Kuning menjadi agenda utama yang bermain di fikiran Irfan supaya dapat mengejar Perak yang kini cukup selesa menerajui liga dengan 15 mata.

Dengan purata hanya satu gol satu perlawanan apabila sekadar meledak enam jaringan sepanjang enam aksi Liga Super setakat ini, keupayaan jentera serangan Selangor menemui sentuhan penyudah berkesan sememangnya dilihat begitu meragukan.

  • Sarawak v Felda United
  • Kuala Lumpur v Johor FC



coded by nessus

Main topics: Liga Super

Sub topics: , , , , , , , , , , , , , ,


Readers Comments (0)