Liga Super 2012: Kelantan sasar rekod tanpa kalah

Kelantan FA

KAFA letak sasaran tinggi juara empat piala

BUKAN sekadar laungan kosong, pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), memasang impian membara bagi memastikan sasaran menyapu bersih empat piala dipertandingkan musim depan terlaksana.

Bukan itu sahaja, Kafa juga menetapkan visi kepada setiap pemainnya untuk memenangi semua perlawanan tanpa mencatatkan sebarang rekod kekalahanan bagi kempen Liga Super.

Kata-kata penuh azimat itu dilontarkan Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa pada Majlis menandatangani program kerjasama Kafa-Happy dan penaja bersama The Red Warriors 2012 di Digi Telecommunications, Subang Hi-Tech, semalam.

“Kita memandang serius setiap cabaran yang bakal menjelang tidak lama lagi. Malah, saya menaruh keyakinan ingin melihat pasu­kan The Red Warriors sekali lagi menjejakkan kaki ke Stadium Bukit Jalil pada perlawanan akhir Piala FA yang dijangka diadakan April depan.

“Kalau boleh, saya mahu melihat pasukan Kelantan melakukan winning streak dalam semua perlawanan liga dengan dibantu dua tonggak import, Danny Antwi dan Mohammed Mahmoud Ghaddar.

“Malah, kami juga membawa obor negara apabila menyertai saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) nanti,” katanya.

Pada majlis sama, Kafa turut menandatangani penajaan bersama tujuh syarikat lain antaranya Sinar Harian, Al-Hamra, Masterskills, RW Plus Energy, Umbro, Warriors dan Yusmira.

Sementara itu, Annuar berkata, pihaknya amat berbangga apabila penaja Happy bersetuju untuk terus menyokong pasukan bola sepak Kelantan.

“Kami berharap kerjasama antara kedua belah pihak pada musim ini akan dikekalkan bagi membuahkan hasil yang lebih positif,” katanya.

Ditanya mengenai persiapan pra-musim yang dijalankan pasukannya, Annuar ternyata berpuas hati dan berharap momentum kemenangan dapat diteruskan menjelang aksi sebenar Liga Malaysia yang bermula awal Januari depan.

Sepak mula liga tempatan bakal menyingkapkan tirainya dengan Kelantan bakal menjadi tuan rumah untuk pertandingan Piala Sumbangsih menentang Negeri Sembilan pada 7 Januari depan di Kota Bharu.

Kelantan juga menempah slot beraksi di pentas antarabangsa bersama Terengganu dalam saingan Piala AFC yang dijangka berlangsung Mac 2012. — Sinar Harian

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>