KUALA Lumpur mencatat kemenangan pertama dalam saingan Liga Super musim ini selepas berjaya membenam pasukan pelawat Sabah 1-0 di Stadium KLFA, Cheras malam tadi

Gol tunggal pasukan tuan rumah dijaringkan oleh pemain penyerang Yong Kuong Yong pada minit ke-53 menerusi satu rembatan kencang dari sebelah kanan pintu gol Sabah.

Namun, jaringan tersebut diprotes para pemain Sabah yang mengatakan bola telah keluar dari kawasan permainan tetapi pengadil perlawanan tetap bertegas dengan keputusannya.

“Keputusan pengadil membenarkan gol tersebut menjadi isu,” kata jurulatih Sabah, Gary Phillip.

Aksi separuh masa kedua menyaksikan anak buah Mohamed Razip Ismail mempamerkan corak permainan yang berbeza sama sekali, nyata percaturan dan kata-kata di dalam bilik persalinan membuahkan hasil buat para pemain Kuala Lumpur.

Pasukan Sabah dilihat lebih menguasai dan mengawal permainan pada separuh masa pertama namun peluang-peluang yang dicipta gagal disudahkan akibat ketumpulan barisan hadapan.

Penyerang Sabah Shahrul Azhar Ture memperoleh dua peluang terbaik untuk membuka jaringan pada minit ke-5 dan ke-9, namun ketangkasan penjaga gol Kuala Lumpur Norazlan Razali berjaya menyelamatkan gawang Kuala Lumpur daripada bocor.

Sabah menggandakan asakan ke arah kubu tuan rumah dan hampir memperoleh gol pembukaan menerusi percubaan terbaik Mohd Farid Inderis (m-37) tetapi diselamatkan penjaga gol, Norazlan meskipun peluang terhidang luas di hadapan pintu gol.

Kedudukan 0-0 kekal pada separuh masa pertama.

Aksi separuh masa kedua menyaksikan Sabah dan Kuala Lumpur mempamerkan corak permainan berbeza dengan lebih mengasak dan serta melakukan seranga pantas berbanding separuh masa pertama.

Nasib tampak kurang menyebelahi Sabah meskipun secara keseluruhan permainan mereka lebih bermutu serta mencipta lebih banyak peluang berbanding Kuala Lumpur.

Ketinggalan 1-0 memaksa jurulatih Gary Phillip memasukkan dua pemain gantian Razlan Oto dan Zainizam Marjan yang nyata berjaya mencorak permainan menyerang buat pasukan Sabah.

Pemain gantian Zainizam hampir menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-62 namun tandukkannya berjaya ditepis keluar Norazlan yang beraksi dengan tangkas malam ini.

Peluang terakhir untuk Sabah menyamakan kedudukan hadir pada minit 71, namun sekali lagi percubaan Shahrul Azhar digagalkan oleh Norazlan yang dipilih selaku penjaga gol terbaik perlawanan.




coded by nessus

Main topics: Liga Super

Sub topics: , , ,


Readers Comments (0)