Kelantan terus kempunan mata penuh
KELANTAN terus dirundung malang apabila gagal mengutip mata penuh setelah sekadar seri tanpa jaringan dengan Sabah dalam aksi perlawanan bola sepak Liga Super yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam tadi.
Turun tanpa penyerang utama, Norshahrul Idlan Talaha dan perancang tengah, Mohd Shakir Shaari, jelas kebangkitan yang diinginkan bertukar dengan igauan buruk setelah aksi hambar dengan gerakan serba tidak menjadi menghiasi sepanjang tempoh 90 minit perlawanan berlangsung malam tadi.
Seawal minit keempat, Kelantan terlebih dahulu mencemaskan pintu gol Sabah menerusi rembatan Ketua Pasukan, Muhd Badhri pada jarak 30 meter yang menyaksikan bola rembatannya melewati pintu gol Sabah.
Selang tiga minit kemudian, giliran pasukan Sang Badak pula menguji kehebatan Khairul Fahmi Che Mat menerusi sepakan Sumardi Hajalan dari luar kotak penalti yang menyaksikan tersasar di sebelah kiri pintu gol.
Pada minit 29, gerakan menarik di antara Mohd Nurul Azwan Roya dengan Muhd Badhri di dalam kotak penalti pasukan pelawat berakhir dengan kehampaan apabila penjaga gol Sabah, Syed Adney Syed Hussein pantas meluru menyelamatkan situasi merbahaya itu.
Selang seminit kemudian, tindakan penjaga gol Sabah, Syed Adney Syed yang keluar diposisinya hampir mengundang padah apabila pemain tengah, Danial Fadzly Abdullah sempat mencuri peluang dengan melakukan rembatan daripada tengah padang namun rembatannya sediki tersasar beberapa meter daripada pintu gol.
Begitu pun, pasukan Sabah turut memperolehi peluang terbaik pada m-39, kali ini menerusi rembatan Leopold Alfonso Otong dari jarak 30 meter yang menyaksikan Khairul Fahmi terpaksa melayangkan badan untuk menepis keluar rembatan tersebut.
Pada m-41, penyerang Kelantan, Mohd Nizab Ayub mensia-siakan peluang terbaiknya apabila menanduk liar hantaran lintang Mohd Nurul Azwan Roya di sebelah kanan pintu gol Sabah.
Dua minit kemudian, rembatan kencang Mohd Nurul Azwan nyaris menghasilkan gol untuk Kelantan namun terkena tiang gol sementara rembatan susulan Solehin Kanasian Abdullah selepas itu di tampan keluar pemain pertahanan Sabah.
Danial Fadzly dan Mohd Farisham Ismail turut mensia-siakan peluang terhidang apabila percubaan mereka masing-masing pada m-46 dan seminit kemudian tersasar jauh daripada pintu gol Sabah.
Jelas, corak permainan Kelantan tenggelam dengan aksi pantas pemain Sabah yang gemar melakukan serangan balas di samping kerap ‘berkampung’ di benteng pertahanan bagi mengekang asakan bertali arus pemain Kelantan dalam perlawanan malam tadi.
Kekentalan Syed Adney digawang gol pasukannya terbukti apabila berjaya membaca tepat sepakan percuma dari luar kotak penalti oleh Danial Fadzly pada m-58 perlawanan.
Dua minit kemudian, Kelantan cemas seketika apabila rembatan leret Hariri Mohd Safii hanya melintasi pintu gol biarpun Khairul Fahmi sudah pun tertewas sebelum itu.
Begitu pun pada m-72, pengadil perlawanan, Dennis Anak Sayeng terpaksa menghentikan perlawanan seketika setelah penjaga gol Sabah, Syed Adney mendakwa terganggu dengan pancaran laser yang dilakukan oleh penyokong setia Kelantan.
Dalam keghairahan Kelantan memburu gol kemenangan, pada m-83, pemain gantian pasukan Sabah, Zuraindey Jumai sempat mencuri perhatian apabila menanduk tepat ke gawang gol Kelantan setelah menerima hantaran lintang daripada Hariri.
Pada m-88, Sabah sekali lagi mencemaskan pintu gol Kelantan apabila Julamri Muhammad yang menampan kemas umpanan rakan sepasukannya, gagal menghasilkan gol untuk pasukannya setelah rembatannya sedikit tersasar daripada pintu gol Kelantan.
Tindakan jurulatih Sabah, Phillip Gary Michael yang membantah keputusan pengawai perlawanan pada masa kecederaan menyaksikan beliau diarahkan meninggalkan bangku simpanan pasukannya menutup tirai aksi tidak bermaya The Red Warriors untuk mengutip tiga penting dalam perlawanan malam tadi.
Luahan Perasaan