Kuala Lumpur jinakkan T-Team 3-1

KUALA Lumpur mudah menjinakkan pasukan pelawat Terengganu T-Team 3-1 di Stadium KLFA, Cheras malam tadi.

Persembahan mantap dipamerkan anak buah Mohamed Razip Ismail pada separuh masa pertama, gerakan kemas dan terbuka memberi tekanan buat T-Team yang kekurangan idea untuk masuk ke kubu pasukan tuan rumah.

Serangan bertali-arus dilancarkan para pemain KL sebaik wisel mula dengan dua percubaan daripada Md Nazrin Md Nawi dan Ahmad Hazwan Bakri sepanjang 10 minit permainan hampir memberi gol pembukaan.

Para pemain KL terus memberikan tekanan kepada bahagian pertahanan T-Team, asakan demi asakan akhirnya berjaya apabila See Kok Luen berjaya menjaringkan gol pembukaan buat pada minit ke-10 selepas berlaku kekalutan di dalam kotak penalti T-Team.

Belum cukup dengan kelebihan satu gol, para pemain KL terus mengasak dari segenap penjuru dan selang seminit kemudiaan Ahmad Hazwan membuktikan sentuhan berbisanya apabila menyumbat gol kedua buat skuad ibu kota untuk mendahului 2-0.

Kehebatan Ahmad Hazwan berterusan apabila sekali lagi melakukan gerakan solo menarik sebelum melepaskan satu rembatan cantik untuk menewaskan Syamsuri Mustaffa buat kali ketiga pada minit ke-13.

Tersentak dengan barisan pemain, jurulatih T-Team Ahmad Yunus Md Alif melakukan rombakan segera dengan melakukan dua pertukaran dengan memasukkan Khairul Izwan Khalid dan Amzar Junaidi Abd Jalil.

Percaturan Yunus Alif tampak berhasil dan menyuntik lebih tenaga di bahagian tengah serta berjaya menangkis serangan para pemain KL yang dahagakan kemenangan.

Pemain berpengalaman, Indra Putra Mahyuddin berjaya menjaringkan gol semangat buat T-Team apabila menyumbat gol menerusi tandukan pada minit ke-22.

Kedudukan kekal 3-1 pada separuh masa dengan permainan lebih memihak kepada pasukan tuan rumah.

Separuh masa kedua menyaksikan aksi lebih seimbang dengan kedua-dua pasukan sedikit lesu dan letih berbanding aksi pada separuh masa pertama.

Serangan daripada para pemain kedua-dua pasukan gagal diterjemahkan sebaiknya oleh barisan penyerang dan dilihat kurang bermaya pada separuh masa kedua.

Corak permainan dan rentak seimbang dipamerkan KL dan T-Team, namun usaha pasukan pelawat untuk merapatkan jurang tampak tidak berjaya apabila sering disekat barisan pertahanan KL manakala KL pula gagal mengekalkan aksi seperti separuh masa pertama.

Kedudukan 3-1 kekal dan KL berjaya mengutip mata penuh serta melonjak ke kedudukan kelapan tangga Liga Super.

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>