KL, Pahang kongsi mata

KELEBIHAN bermain di gelanggang sendiri gagal dimanfaatkan sepenuhnya pasukan ibu kota Kuala Lumpur apabila sekadar seri tanpa jaringan dengan pasukan pelawat Pahang dalam perlawanan Liga Super di Stadium KLFA, Cheras malam tadi.

Lebih malang lagi apabila anak buah Md Razip Ismail gagal mendominasi rentak permainan sepenuhnya meskipun Pahang kehilangan seorang pemain akibat layangan kad merah pada separuh masa kedua.

“Saya menyedari kami kini berada di dalam situasi bahaya, terutamanya dengan keputusan malam ini.

“Para pemain sedikit keletihan selepas perlawanan menentang Negeri Sembilan yang lalu, lebih teruk lagi kami kurang kreativiti di kalangan pemain malam ini,” ujar jurulatih KL, Md Razip Ismail.

Pasukan pelawat Pahang memulakan aksi separuh masa pertama dengan rentak permainan lebih garang berbanding KL, beberapa gerakan menarik di hadapan gol hampir memberi kelebihan awal buat anak buah Dollah Salleh.

Dua percubaan menerusi rembatan oleh pemain Pahang Azamuddin Mohd Akil (minit ke-8) dan Md Munir Amran (minit 35) seakan hampir menerjah jaring tetapi kecekapan penjaga gol KL Norazlan Razali membaca gerakan tersebut berjaya menyelamatkan keadaan.

KL hanya berjaya memperoleh rentak permainan mereka apabila masuk 15 minit terakhir separuh masa pertama, dua percubaan yang diatur barisan anak buah Md Razip berjaya sekurang-kurangnya menguji penjaga gol Pahang Md Rosfaizul Azuar Ali.

Sepakan percuma pada minit 30 oleh Ahmad Hazwan Bakri hampir menewaskan Rosfaizul tetapi mujurlah bola sedikit tersasar dari gawang gol Pahang.

Peluang terbaik KL pada separuh masa pertama diperoleh menerusi Md Badrul Hisyam Azmi selepas berlaku situasi kelam-kabut dihadapan pintu gol Pahang tetapi malangnya gagal dimanfaatkan sebaiknya apabila rembatannya melambung tinggi.

Separuh masa kedua menyaksikan rentak permainan seimbang dipamerkan kedua-dua pasukan, corak pantas serta aksi serang-menyerang dipamerkan kedua-dua pasukan.

Skuad bimbingan Dollah mengalami ketempangan apabila terpaksa bermain dengan 10 pemain seawal 15 minit separuh masa kedua apabila pemain tengahnya Nazrulerwan Makmor dilayangkan kad kuning kedua.

KL cuba menggunakan peluang sepenuhnya yang dimiliki dan melancarkan serangan bertali-arus ke arah kubu Pahang.

Minit ke-67, KL memperoleh peluang terbaik untuk mencipta sesuatu menerusi sepakan percuma yang diambil Ahmad Hazwan di sebelah kanan padang tetapi malangnya hantaran cantik tersebut gagal disambar para pemain KL yang berkampung di dalam kotak penalti.

Tiga pertukaran dilakukan oleh jurulatih Razip dengan memasukkan Md Afiq Azmi, Md Nazrin Md Nawi dan Norismaidham Ismail untuk menyuntik bahagian serangan yang kurang kreatif dan serba tidak menjadi pada separuh masa kedua.

Strategi yang digunakan Md Razip tidak memberi sebarang impak kepada skuadnya, gerakan demi gerakan sering terkandas di bahagian tengah dan percubaan yang dilakukan sekadar melintasi tiang dan palang gol lawan.

Ketika masa sebenar telah tamat, KL memperoleh peluang terbaik di hadapan gol Pahang tetapi hantaran Md Nazrin Nawi yang disambut See Kok Luen gagal disudahkan meskipun tidak dikawal oleh pemain pertahanan Pahang.

Kedudukan 0-0 kekal hingga tamat permainan. — Arena.my

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>