SELEPAS tewas mengejut di tangan T-Team Selasa lalu, Kelantan ibarat sang Singa yang terluka apabila menjadikan Felda United sebagai mangsa pertama selepas membaham pasukan tersebut 6-0 dalam aksi di Stadium Sultan Mohd Ke-IV malam kelmarin.

Lebih manis, kemenangan tersebut juga melonjakkan kedudukan Kelantan untuk mengungguli persada liga biarpun terpaksa berkongsi mata dengan Selangor, namun dipisahkan dengan jumlah jaringan gol.

Ketua jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu menyifatkan pasukannya tersedar dari lena dan mimpi buruk ketika mereka terpaksa pulang hampa ke Kota Bharu ketika ditewaskan T-Team di Terengganu tempoh hari.

“Perlawanan malam tadi (kelmarin) sangat penting untuk kita selepas tewas dengan T-Team. Kita pulang ke sini (Kota Bharu) dan membuktikan kita adalah sebuah pasukan yang cukup tersusun. Saya bangga dan kagum dengan semangat itu.

“Kita bermula dengan baik dan menguasai perlawanan. Hantaran cukup sempurna dengan pemain yang tersenarai menunjukkan semangat yang cukup tinggi dan mereka tahu mereka tidak mampu untuk kalah lagi. Di sini kita buktikan kita antara yang terbaik,” katanya ketika dihubungi semalam.

Jelasnya, beliau mengharapkan aksi yang sama diteruskan dalam perlawanan akan datang ketika Kelantan dijadualkan bertandang ke Ipoh esok untuk menentang Perak sebelum pulang semula ke Kota Bharu melayan kunjungan Sabah, Sabtu ini.

“Jumlah jaringan malam tadi cukup luar biasa. Felda main cukup baik dan mereka memiliki pemain yang berkualiti tetapi secara taktikalnya kita lebih baik dan jentera tengah dan penggempur kita menjalankan tugas dengan sempurna.

Mengulas mengenai ketiadaan ketua pasukan, Badri Radzi yang hanya memanaskan bangku simpanan, Karathu berkata:

“Jentera tengah cukup penting, saya mahu pemain yang boleh ‘menang bola’. Daniel Fadzley dan Shakir (Shaari) bermain baik. Semua pemain kena kerja kuat, apabila kita selalu hilang bola ia menimbulkan masalah untuk pertahanan,” ujarnya.

Perlawanan malam kelmarin menyaksikan pesta gol Kelantan dibuka oleh Shakir Shaari pada minit ke 33 menerusi rembatan dari jarak 35 meter yang menewaskan Faizal Rashid.

Selang tujuh minit kemudian giliran Norshahrul Idlan Talaha menyempurnakan sepakan penalti selepas S Chanturu dijatuhkan dalam kotak penalti yang turut menyaksikan pertahanan Felda, Abdul Ghani Abd. Rahman di buang padang kerana menerima kad kuning kedua.

Babak kedua perlawanan menyaksikan giliran penyerang muda Kelantan, Nizad Ayub menggamatkan stadium dengan dua gol dihasilkan pada minit ke 60 dan 71.

Sepuluh minit sebelum perlawanan tamat, Kelantan berjaya menambah derita Felda menerusi gol hasil sepakan percuma Daniel Fadzley Abdullah pada minit ke 82 dan pemain muda, Mohd Izuan Solahudin pada minit ke 89. — KOSMO




coded by nessus

Main topics: Liga Super

Sub topics: , ,


Readers Comments (0)