Atur perlawanan: Shahidan gesa FAM siasat pembabitan bookie

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim menggesa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyiasat pembabitan bookie dalam kegiatan mengatur perlawanan membabitkan perlawanan liga di bawah persatuan itu secara menyeluruh.

Shahidan berkata, gesaan itu dibuat berikutan terdapat seorang pemain pasukan Liga Perdana Perlis yang dipanggil Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini kerana disyaki terlibat dalam kegiatan menjual perlawanan membabitkan pasukan itu dengan Majlis Perbandaran Muar FC (MPM FC) pada 9 Januari lalu.

Menurutnya, selain pemain terbabit, pihaknya turut mengesyaki sebahagian besar pemain Perlis lain turut terlibat dengan rasuah bola sepak berdasarkan maklumat diberikan salah seorang pemain pasukan itu.

“Saya difahamkan sebahagian besar pemain Perlis didakwa menemui seorang bookie di Alor Setar, Kedah sebelum perlawanan pertama menentang MPM FC berlangsung dan kekalahan besar 7-2 kepada pasukan itu menguatkan lagi keyakinan kami.

“FAM perlu pantau pembabitan bookie secara lebih ketat memandangkan tidak mungkin mereka hanya cuba mengatur perlawanan membabitkan beberapa pasukan tertentu sahaja,” katanya.

Shahidan berkata, pihaknya bersedia mengambil tindakan tegas termasuk membuang kesemua pemain yang didapati terlibat menjual perlawanan walaupun terpaksa berhadapan kemungkinan pasukan Perlis ‘ditutup’.

Menurutnya, kegiatan rasuah bola sepak atau mengatur perlawanan perlu dibendung segera FAM sebelum menjadi lebih parah memandangkan ianya mampu memberi kesan besar kepada perkembangan bola sepak negara.

“Pembabitan bookie terhadap pasukan Perlis mungkin disebabkan pemain-pemain muda yang tidak dibayar gaji tinggi terpengaruh dengan nilai wang yang ditawarkan oleh bookie.

“Mengenai jumlah bayaran suapan yang mungkin diterima pemain terlibat, kita masih tidak dapat mengetahui nilainya dan menyerahkan perkara itu kepada SPRM untuk siasatan lanjut,” katanya.

9 pemain Perlis disyaki terlibat atur perlawanan

Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), semalam mendedahkan bukan hanya seorang pemain tetapi sembilan anggota skuad Liga Perdana Perlis disyaki terbabit dalam mengatur keputusan perlawanan gara-gara tewas mengejut 2-7 kepada MP Muar pada aksi pertama 9 Januari lalu.

Pendedahan itu diumumkan Presiden PFA, Datuk Seri Shahidan Kassim yang menyuarakan semua pemain skuad Singa Utara itu membabitkan pemain lama dan baru menyertai skuad berkenaan pada kempen Liga Malaysia musim ini.

“Apa yang paling mengejutkan suspek ejen bookie terbabit dikatakan turut menawarkan wang sebanyak RM100,000 kepada seorang tonggak importnya, tetapi dia menolak tawaran lumayan itu.

“Kami tidak menolak kemungkinan pemain lain termasuk yang disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga turut ditawarkan jumlah sama seperti pemain import itu,” katanya di sidang media khas di Kangar, semalam.

Shahidan berkata, berikutan laporan yang cukup mengejutkan itu, PFA membuat laporan polis dan SPRM di Kangar pada 11 Januari lalu.

Apa pun, beliau menambah setakat ini PFA belum dihubungi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjelaskan isu itu dan berharap badan induk itu memberin perhatian serius terhadap isu rasuah bola sepak. — Berita Harian

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>