Hodak beri amaran tidak ulangi aksi ‘syok sendiri’
Bojan Hodak, Ketua Jurulatih Kelantan
KETUA jurulatih Kelantan, Bojan Hodak memberi amaran kepada anak buahnya supaya memberi aksi secara berpasukan demi memastikan tiga mata penuh dalam pertemuan menentang PKNS FC di Kelana Jaya malam ini.
Amaran itu ekoran ada pemain yang mempamer aksi ‘syok sendiri’ hingga menyebabkan The Red Warriors hampir berputih mata dalam saingan Piala AFC menentang Ayeyawady United, Selalu lalu.
Bagi aksi malam ini Hodak sangat berharap anak buahnya mampu mengutip mata penuh bagi mengurangkan jurang perbezaan mata dengan Lions XII.
The Red Warriors kini di tempat kedua liga dengan 34 mata daripada 15 perlawanan tetapi mereka mempunyai empat perlawanan dalam tangan berbanding Lions XII yang memiliki 39 mata tetapi sudah beraksi 19 perlawanan.
Namun, PKNS yang mempunyai repuatsi sebagai pakar dalam keputusan seri - termasuk seri 1-1 dengan Kelantan di Kota Bharu pada 13 Januari lepas. Perkara itu sedikit membimbangkan Hodak.
“PKNS adalah pasukan yang tidak menjaringkan atau bolos banyak gol. Mungkin sukar untuk beraksi menentang mereka di padang mereka. Kita juga tak boleh lupakan bahawa mereka telah menewaskan Lions XII,” kata Hodak kepada The Star.
Benteng pertahanan dan serangan PKNS dibarisi pemain berpengalaman, Mohd Nizarudiin Yusof dan Ahmad Zainal.
Hodak memberitahu bahawa pasukan lain pasti akan meningkatkan permainan mereka apabila bertemu Kelantan dan pemainnya harus fokus satu perlawanan dalam satu masa jika tidak mahu tercicir mata dalam saingan liga.
Pasukan pantai timur itu mempunyai jadual yang ketat kerana mereka akan bertemu Sime Darby FC bagi aksi final Piala FA pada 19 Mei dan bertemu Terengganu dalam saingan pusingan kedua Piala AFC pada 23 Mei, sebelum bertemu Johor FC tiga hari kemudian.
“Kami akan mengalami masalah dengan PKNS jika pemain memikirkan tentang final Piala FA,” kata jurulatih itu lagi.
Luahan Perasaan