PERSEPSI negatif pemerhati dan pengkritik bola sepak tanah air terhadap Kelantan membuat B Sathianathan membulatkan tekadnya mengubah wajah cabaran pasukan itu daripada barisan yang terkenal dengan sikap panas baran kepada skuad matang dan tenang ketika ini.
Jelas, usaha gigih – selepas pelbagai eksperimen – sejak 13 bulan lalu kini membutirkan hasil dan habuannya The Red Warriors layak ke final Piala Malaysia buat kali kedua berturut-turut apabila menentang Negeri Sembilan, Sabtu ini.
Pengendali yang mengutamakan disiplin tinggi berkata: “Perkara pertama saya tekankan ketika mengambil alih pasukan ini ialah, jika ada pemain dilayangkan kad merah mereka tidak akan bersama pasukan.
“Biasanya sesebuah pasukan memerlukan tempoh tiga sehingga lima tahun untuk berubah kepada barisan disegani seperti Kelantan hari ini, tetapi dengan tiga final dan tempat kedua dalam Liga Super, ia satu pencapaian terpuji. Ia berlaku secara drastik.”
Menurut Sathia, dia pernah diberitahu sebelum ini oleh pemain dari pasukan lain, untuk menewaskan Kelantan hanya perlu menaikkan kemarahan mereka. Jadi itu menjadi agenda pertamanya sebaik menjejak kaki ke Kelantan.
“Sekarang kalau dilihat corak permainan Kelantan, mereka lebih tenang dan terkawal walaupun ketinggalan gol dan dikasari lawan,” kata bekas jurulatih kebangsaan itu. “Itu faktor paling penting dalam permainan yang cuba saya terapkan.”
Kelantan antara pasukan paling banyak bertukar jurulatih dengan setiap tahun menampilkan jurulatih berbeza. Namun hanya Sathia yang mampu melonjak pasukan berkenaan ke peringkat tertinggi walaupun baru mengambil alih sejak tahun lalu.
Di bawah kendalian Sathia, Kelantan berjaya mara ke final Piala FA 2009, Piala Malaysia 2009 dan 2010.
Berita Harian
Tags: B Sathianathan, Final 2010, Kelantan, Kelantan vs Negeri Sembilan, Piala Malaysia 2010