Saturday, 02/04/2016


Surendren pilihan Devan gempur Kelantan

Published on March 12, 2010 by   ·   No Comments

SEKIRANYA K Devan mahu menguji kemampuan sebenar R Surendren mengharungi 90 minit permainan, menentang Kelantan dalam perlawanan Liga Super, hari ini merupakan gelanggang tepat untuk melakukannya.

Malah, jika jurulatih Selangor itu mahu menyediakan kesebelasan terkuat sebagai persediaan menjelang ke Sriwijaya (Indonesia) dalam Piala AFC, Selasa ini, kehadiran penuh pemain kelahiran Perak tersebut, tidak syak lagi mampu memenuhi kriterianya.

Penyerang kelahiran Perak itu sudah sekian lama memanaskan bangku simpanan, tetapi berjaya mengumpul lima gol dalam Liga Super musim ini, hanya kurang satu berbanding penyerang utama, Safee Sali, selepas Merah Kuning melalui sembilan perlawanan.

Tidak cukup dengan itu, Surendren mampu bermain sama ada sebagai penyerang bantuan, mahupun sayap kiri; posisi yang kini didukung Safiq Rahim, berikutan kehadiran Bunyamin Umar, yang mengemudi bahagian tengah dengan Hardi Jaafar.

Namun, mungkin atas alasan taktikal dan strategi untuk menyimpan senjata khasnya pada saat yang benar-benar mendesak, Devan lebih gemar merehatkan pemain lincah itu, termasuk ketika mereka membelasah Pos Malaysia 5-1 pada suku akhir pertama Piala FA di Selayang, Selasa lalu.

“Jika lebih ramai yang mampu menjaringkan gol dan semua pemain utama atau simpanan masih mampu beraksi bagus, tugas saya pasti lebih mudah biarpun menghadapi jadual padat Piala FA, Liga Super dan Piala AFC, sepanjang bulan ini,” kata Devan.

Meletakkan Safee sebagai penyerang tunggal juga mampu mengumpan lawan memberi tumpuan mengekangnya sahaja, tetapi dalam masa yang sama, ia membuka ruang kepada sesiapa yang lain khususnya kedua-dua sayap menembusi kubu dan merobek gawang.

Aksi Safiq, sayap kanan Amirulhadi Zainal bahkan ketua pasukan, Amri Yahyah bakal membimbangkan B. Sathianathan dan anak buahnya di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu yang cuba memburu kemenangan kelima liga sebagai hadiah buat penyokong setia Wira Merah.

Di sebalik itu, kehadiran barisan pemain bintang kedua-dua pasukan ini termasuk milik tuan rumah seperti Akmal Rizal Rakhli, Indra Putra Mahayuddin, Norshahrul Idlan Talaha dan Nor Farhan Muhammad juga membayangkan corak permainan terbuka dan seimbang malah mungkin paling menarik dalam musim ini.

— Dipetik dari Utusan Malaysia




coded by nessus

Tags: , , , , , ,

Readers Comments (0)




Latest News