NEGERI Sembilan terus unggul di tangga teratas Kumpulan A selepas berjaya mengutip tiga mata penuh hasil kejayaan menewaskan Selangor PKNS 2-1 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya malam tadi.
Negeri Sembilan bermula garang sebaik wisel perlawanan dimulakan namun PKNS yang terlebih dahulu memecah kebuntuan seawal minit ketiga. Satu serangan balas hasil kegagalan pasukan Negeri Sembilan menyudahkan serangan mereka dihukum oleh penyerang PKNS, Mohammad Zamri Hassan menerusi satu tendangan lambung yang memalukan penjaga gol pasukan pelawat, Sani Anuar Kamsani.
PKNS mula memperlahankan rentak permainan setelah mendahului dan Negeri Sembilan mula mempamerkan gaya permainan yang menarik, sekali-sekala menguji kekebalan pertahanan PKNS yang diterajui penjaga gol, Badrulzaman Abd Halim.
Asakan bertubi-tubi Negeri Sembilan akhirnya membuahkan hasil setelah setengah jam perlawanan berlangsung bila Idris Karim mudah membolosi pertahanan PKNS yang alpa dan menyumbat gol melewati Badrulzaman untuk meyamakan kedudukan.
PKNS semakin tertekan pada minit-minit akhir babak pertama apabila Halim Zainal merembat kencang untuk gol kedua pasukan pelawat sekaligus membolehkan anak buah Wan Jamak mendahului permainan buat pertama kali di sepanjang perlawanan tersebut.
Babak kedua bermula rancak apabila Negeri Sembilan meneruskan serangan seolah-olah masih lagi ketinggalan dan hampir-hampir menambah gol ketiga namun tendangan lemah Idris Karim mudah didakap Badrulzaman.
Negeri Sembilan akan berentap dengan Kelantan pada perlawanan keempat yang dijadualkan pada 3 Oktober depan.
Tags: Negeri Sembilan, Negeri Sembilan vs PKNS, Piala Malaysia 2010, PKNS