Farisham, Akmal Rizal, Piya, Indra Putra sempurnakan malam gemilang Red Warriors
KELANTAN kembali mengetuk pintu saingan ke peringkat suku akhir setelah berpesta gol mengalahkan Selangor PKNS FC dengan kemenangan 4-0 dalam perlawanan peringkat kumpulan A, TM Piala Malaysia yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam tadi. [LIHAT VIDEO]
Beraksi di hadapan hampir 15,000 penyokong sendiri, barisan pemain Kelantan yang turun dengan misi hidup mati dalam perjuangan saingan TM Piala Malysia musim ini membuktikan mereka mampu meleraikan kekusutan peminat yang begitu cemas dengan situasi sukar The Red Warriors dengan mencatatkan kemenangan bergaya ke atas pasukan kelab dari Lembah Kelang itu.
Seawal minit keempat, Kelantan melakukan acahan awal apabila Muhd Badhri Radzi yang berjaya merebut bola dalam situasi kelam-kabut didalam kotak penalti pasukan pelawat namun penyudah Mohd Norfarhan Muhammad jauh tersasar dari pintu gol Selangor PKNS FC.
Pada m-10, percubaan Azizi Matt Rose dinafikan tiang gol pasukan pelawat sementara tindakan susulan Norshahrul Idlan Talaha selepas itu sekadar menyepak angin.
Percubaan terbaik Kelantan hadir pada m-27, kali ini menerusi sepakan percuma Muhd Badhri namun tandukan susulan Azizi sekali lagi mengecewakan penyokong setia Kelantan.
Selang seminit kemudian, Kelantan memulakan aksi pesta gol malam tadi apabila pemain pertahanan, Mohd Farisham Ismail mudah menolak masuk menewaskan penjaga gol pasukan pelawat, Saiful Amar Sudar setelah percubaan terdahulu Indra Putra Mahayuddin ditepis oleh beliau.
Kelantan jelas menguasai hampir keseuluruhan babak perlawanan ini sementara pasukan Selangor PKNS FC yang turun dengan misi sekurang-kurangnya mencatatkan keputusan seri di Kota Bharu pula dilihat lebih banyak bertahan.
Pada m-38, Kelantan sekali lagi kempunan untuk menjaringkan gol. Sepakan percuma Muhd Badhri mengenai tiang gol pasukan pelawat biarpun Saiful Amar sudah pun tertewas.
Pasukan pelawat yang lebih banyak bertahan sebelum itu turut mempunyai peluang terbaik pada m-40 namun rembatan Muhammad Zamri Hassan yang menerima umpanan Mohd Alafi Mahmud sedikit tersasar sebelah kiri pintu gol Kelantan.
Babak kedua, Kelantan sekali lagi memulakan aksi agresif dengan menyerang bertali arus. Pada m-47, Norshahrul Idlan berpeluang menambahkan koleksi jaringan tetapi rembatan rendahnya terus ke dakapan Saiful Amar.
Akmal Rizal Ahmad Rakhli sekali lagi mencatat nama sebagai penjaring gol penting pada perlawanan malam tadi. Segalanya bermula pada m-55, apabila beliau berjaya melepasi perangkap ofsaid pertahanan lawan dan seterusnya memperdayakan penjaga gol pasukan pelawat dengan merembat kencang menghasilkan gol kedua Kelantan.
Pada m-60, palang gol pasukan pelawat sekali lagi menjadi penghalang diatas kebangkitan pasukan Kelantan apabila rembatan ‘first timer’ Mohd Norfarhan mengenai palang tersebut.
Pasukan pelawat yang bermain dalam keadaan tertekan turut mencuri peluang pada m-63 apabila hantaran lintang Ketua Pasukan, Mohd Fadhil Mohd Hashim namun tandukan Muhammad Zamri pula tersasar.
Sementara percubaan G Mahathevan pada m-72 pula dari luar kotak penalti diselamatkan Zairul Fitree Ishak diatas garisan gol dalam situasi kelam-kalut di depan pintu gol Kelantan.
Muhd Badhri menamatkan badi kekecewaannya malam tadi apabila merembat kencang menewaskan Saiful Amar pada m-78 setelah menyambut baik hantaran lintang Norshahrul Idlan.
Malam pesta gol di Kota Bharu di akhiri menerusi sepakan penalti yang mudah disempurnakan Ketua Pasukan, Indra Mahayuddin pada m-85. Pengadil, Shukri Nor tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti itu setelah bola terkena tangan pemain pertahanan, Mohd Khairul Nizam Hanif didalam kotak penalti.
Indra Putra yang diberi tanggungjawab mengambil sepakan tersebut mudah menyepak masuk ke penjuru sebelah kanan menewaskan Saiful Amar buat kali keempat dalam perlawanan malam tadi.
Kebangkitan lewat babak minit-minit akhir pasukan pelawat menerusi tandukan Muhammad Zamri yang sempat ditepis keluar Khairul Fahmi tidak memberi apa-apa kesan di atas kemenangan besar Kelantan ke atas Selangor PKNS FC dalam perlawanan malam tadi.
Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan peringkat kumpulan A, Negeri Sembilan mengukuhkan kedudukan mereka selaku pendahulu pasukan setelah mengalahkan KL Plus FC 2-1 dalam aksi yang berlangsung di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.
Kesebelasan utama pemain:
Sinar Harian
Tags: Kelantan, Kelantan vs PKNS, Piala Malaysia 2010, PKNS