PENERAJU Liga Perdana, PKNS Selangor mencicirkan mata buat kali pertama dalam saingan liga musim ini selepas diikat Sarawak 1-1 di Stadium Negeri.
PKNS yang menang dalam kedua-dua perlawanan sebelum ini dilihat seakan-akan mampu mengekalkan kedudukan di tangga teratas liga apabila Mohamad Zamri Hassan membuka jaringan pada minit ke-34.
Namun kedudukan itu hanya mampu bertahan selama lima minit sahaja apabila Zamri Morshidi menyamakan kedudukan buat tuan rumah pada minit ke-39.
Keputusan seri itu menyebabkan PKNS turun ke tangga kedua liga dan menyerahkan kedudukan teratas kepada Felda United menerusi perbezaan gol.
Dalam aksi di Stadium Olahraga USM Pulau Pinang, Felda United membelasah USM FC 4-1 menerusi jaringan hatrik peledak berbisanya, Fatrurazi Rozi serta satu gol sumbangan Chow Chee Weng.
Bagi Sarawak pula ia adalah mata kedua yang dikutip pasukan bumi Kenyalang itu selepas seri dan tewas sekali dalam perlawanan terdahulu.
Ketika ini Sarawak berada di tangga kesembilan liga, satu mata di atas pasukan jiran Borneo, Sabah.
Tags: Kuching, Liga Malaysia, Liga Perdana, PKNS, Sarawak