Sunday, 27/09/2020


Tempat Kelantan di suku akhir belum terjamin

Published on October 6, 2010 by   ·   No Comments

KEPUTUSAN seri ketika menentang Negeri Sembilan tiga hari lalu menyaksikan laluan sukar perlu ditempuhi Kelantan untuk memastikan tempat ke suku akhir selepas di awal saingan dilabel pasukan pilihan bagi saingan Piala Malaysia musim ini.

Kelantan dilihat masih bergelut untuk mencari rentak pada saingan Piala Malaysia kali ini selepas dikejutkan dengan berita kemenangan PKNS ke atas KL Plus pada satu lagi perlawanan.

Bagi penyokong Red Warriors, sudah tentu persembahan yang ditunjukkan belum memadai, malah di separuh masa pertama dianggap longlai, namun kembali bangkit bagi aksi aksi kedua. Kemasukan Akmal Rizal ternyata membawa perubahan kepada corak permainan anak buah B Sathianathan hingga akhirnya mampu menyamakan kedudukan.

Walaupun seri dua jaringan tidak mampu memuaskan hati penyokong, namun setidak-tidaknya pujian juga sepatutnya diberikan, menjadikan peluang untuk Kelantan memburu peluang ke suku akhir masih lagi terbuka.

Satu kemenangan, dua seri dan satu kekalahan dalam empat perlawanan yang diharungi tidak seharusnya menjadi kayu pengukur kekuatan sebenar walaupun hakikatnya prestasi itu langsung tidak boleh dibanggakan.

Menghuni di tangga ketiga bukan bermakna butang kecemasan harus ditekan, tetapi sekurang-kurangnya Sathia sudah perlu membuka mata bahawa aksi konsisten perlu ditunjukkan oleh skuad Wira Merah dalam dua perlawanan terakhir terutama menentang PKNS di tempat sendiri malam ini.

Enam jaringan yang di ledak dari empat perlawanan mungkin sudah memuaskan tetapi jumlah bolos yang sama perlu diperhatikan barisan pertahan khususnya bagi dua penjaga gol utama Kelantan Khairul Fahmi dan Syed Adney.

Dua perlawanan menentang PKNS dan KL Plus harus digunakan sebaik mungkin bagi skuad Red Warriors. Walaupun berstatus kelab, jika silap langkah kedua-duanya mampu membawa bencana kepada Sang Kijang.

Dibayangi pemain handal bukan bermakna aksi yang sama boleh diberikan, oleh itu Sathia seharusnya memberi peluang kepada pemain yang menunjukkan aksi konsisten walaupun kurang ‘glamour’.

Jika dua perlawanan ini mampu disudahkan dengan enam mata penuh, Kelantan sudah boleh memikirkan untuk aksi suku akhir, berkemungkinan berdepan Selangor yang kini diambang puncak prestasi.

Kini hanya Selangor sahaja yang mampu berbangga menyudahkan empat perlawanan dengan aksi kemenangan. Ditambah kemenangan ke atas T-Team Ahad lalu yang mengesahkan tempat skuad Red Giants di suku akhir.

Bagi Kelantan, jika peluang ini gagal dimanfaatkan sepenuhnya, harapan untuk menggapai Piala Malaysia tertutup rapat dan Kelantan dianggap sebagai tidak mampu menyudahkan aksi hebat Liga Super sebelum ini.




coded by nessus

Tags: , , , ,

Readers Comments (0)




Latest News