PENDAHULU Liga Perdana, Felda United mencatat keputusan seri kedua berturut-turut apabila diikat PDRM 1-1 dalam aksi malam ini.
Keputusan itu sekali pun mengekalkan Felda United di tangga teratas liga namun mula dihimpit dua lagi pasukan, PKNS dan Sabah yang mencatat kemenangan ke atas lawan masing-masing.
Sabah yang kekurangan satu perlawanan menang 4-0 ke Shahzan Muda manakala PKNS turut mencatat kemenangan besar apabila membelasah Pos Malaysia 4-1 di tempat lawan.
Ia sekali gus membolehkan dua pasukan berkenaan menghampiri Felda United. PKNS kekal di tangga kedua dengan 39 mata, hanya satu mata di bawah Felda United manakala Sabah 38 mata.
Namun dengan kelebihan satu perlawanan dalam tangan, Sabah berpeluang cerah untuk memintas kedudukan Felda di tangga teratas liga selepas ini.
Beraksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi menyaksikan Felda bermula baik apabila memperoleh jaringan seawal minit kelapan.
Namun, jaringan itu gagal dipertahankan apabila asakan minit akhir perlawanan membuahkan hasil ketika PDRM mencari gol penyamaan.
Tags: Felda United, Liga Perdana, PDRM, PKNS, Sabah