Saturday, 26/10/2013


Hadiah istimewa sempena pemasyhuran Sultan Muhammad Ke-V

Published on October 31, 2010 by   ·   No Comments


Foto: www.theredwarriors.com

KELANTAN muncul juara Piala Malaysia edisi kali ke-84 setelah mengalahkan juara musim lalu, Negeri Sembilan dengan kemenangan 2-1 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam tadi.

Lebih manis, kejayaan muncul juara pertama kali itu merupakan hadiah istimewa sempena pemasyhuran Sultan Kelantan yang baru, Sultan Muhammad Ke-V. Kejayaan malam tadi membolehkan nama Kelantan terpahat dalam senarai pemenang kali pertama dalam perebutan piala paling berprestij itu sejak ianya dipertandingkan pada tahun 1921.

Beraksi di hadapan hampir 90,000 penonton, dengan didominasi sokongan penyokong setia Merah Putih, The Red Warriors jelas membuktikan mengapa mereka tidak boleh digelar sebagai kuasa baru dalam arena bola sepak tempatan apabila mempamerkan aksi kelas yang tersendiri biarpun ketinggalan satu gol pada separuh masa yang pertama.

Sementara kekalahan malam tadi memaksa barisan pemain Negeri Sembilan menelan kepahitan gagal mempertahankan kejuaraan yang dimenanginya musim lalu apabila terpaksa merelakan piala tersebut untuk dibawa pulang ke bumi Negeri Cik Siti Wan Kembang buat pertama kali.

Dua gol dalam tempoh lapan minit pada awal babak kedua menerusi jaringan Hairuddin Omar dan Muhd Badhri Radzi akhirnya menjulang Kelantan sebagai juara baru Piala Malaysia edisi kali ke-84.

Seawal minit pertama, Kelantan terlebih dahulu menguji pintu gol Negeri Sembilan apabila sepakan percuma Ketua Pasukan, Indra Putra Mahayuddin dari sebelah kanan penjuru pintu gol ditanduk tinggi oleh Mohd Rizal Fahmid Abd Rosid melepasi palang gol Negeri Sembilan.

Selang seminit kemudian, Negeri Sembilan melakukan serangan balas menerusi lorongan bola Abdul Halim Zainal kepada rakan sepasukan namun Khairul Fahmi Che Mat bijak meluru keluar menyelamatkan situasi tersebut.

Pada m-7, Negeri Sembilan sekali lagi mempunyai peluang terbaik apabila hantaran lintang S Kunalan disambut Idris Abdul Karim tetapi tampanan kurang kemasnya mudah diselamatkan Khairul Fahmi.

Pada m-14, Negeri Sembilan dihadiahkan sepakan penalti setelah Khairul Fahmi menjatuhkan pemain Negeri Sembilan dalam kotak penalti dalam usahanya menyelamatkan pintu gol Kelantan daripada dibolosi. Penyerang, Shahurain Abu Samah yang mengambil sepakan tersebut mudah menewaskan Khairul Fahmi seterusnya menghasilkan gol pertama Negeri Sembilan.

Walau bagaimanapun, gol pendahuluan tersebut tidak mematahkan semangat pemain Kelantan. Pada m-29, Kelantan mempunyai peluang terbaik merapatkan jurang apabila Hairuddin Omar berjaya melepasi perangkap ofsaid namun penjaga gol, Mohd Sani Annuar Kamsani terlebih dahulu meluru keluar menyelamatkan bola.

Sebaliknya, Negeri Sembilan lebih ghairah memburu jaringan apabila dilihat lebih banyak menjanakan corakan serangan melalui rangkaian penyerang muda, Shahurain Abu Samah dan Abdul Halim Zainal yang mendapat sokongan jentera tengah mereka.

Dua peluang terbaik Negeri Sembilan hadir pada m-30 dan 34 perlawanan menerusi percubaan jarak jauh Idris dan Kunalan yang menyaksikan ianya sekadar tersasar dan terus ke dakapan Khairul Fahmi.

Minit-minit akhir separuh masa pertama, Kelantan mempunyai tiga peluang terbaik merapatkan jurang menerusi percubaan Hairuddin, Indra Putra dan Mohd Norfarhan namun ketangkasan Mohd Sani Annuar menghampakan peluang tersebut.

Babak kedua, Kelantan seakan mendapat aura baru apabila menguasai hampir keseluruhan tempo permainan. Pada m-51, Hairuddin mempunyai peluang terbaik menjaringkan gol menerusi tandukan tetapi sempat ditampan keluar oleh pemain pertahanan Negeri Sembilan manakala rembatan susulan Muhd Badhri selepas itu sekadar melepasi palang.

Detik malang bagi Negeri Sembilan bermula enam minit kemudian. Bermula larian bola Norshahrul Idlan Talaha dari sebelah kanan pintu gol, beliau melakukan hantaran lintang kepada Hairuddin yang menanduk cantik ke penjuru sebelah kanan pintu gol menewaskan Mohd Sani Annuar.

Gol penyamaan tersebut ternyata membakar semangat juang pemain Kelantan sementara Negeri Sembilan terus tertekan selepas kehilangan bek kental mereka, Aidil Zafuan Abdul Radzak yang terpaksa diusung keluar selepas itu kerana mengalam kecederaan.

Pada m-62, Negeri Sembilan sekali lagi mencemaskan pintu gol Kelantan menerusi percubaan Shahurain yang merembat kencang tetapi diselamatkan Khairul Fahmi.

Pada m-65, Stadium Nasional Bukit Jalil kembali bergema dengan sorakan 70,000 penyokong setia Kelantan apabila Muhd Badhri Radzi berjaya menjaringkan gol kemenangan Kelantan.

Kelalaian benteng pertahanan Negeri Sembilan sekali lagi terhukum apabila beliau yang menerima umpanan Mohd Norfarhan sebelum itu hanya memerlukan tiga langkah sebelum melepaskan rembatan kencang dalam kotak penalti menewaskan Mohd Sani Annuar buat kali kedua.

Negeri Sembilan yang kian tertekan memasukkan penyerang muda, Mohd Shafik Abdul Rahman menggantikan Qhairil Anwar Roslani namun tidak cukup membantu mencari gol penyamaan.

Dua percubaan terbaik mereka pada m-80 dan masa tambahan masing-masing menerusi Shahurain dan Idris menyaksikan Khairul Fahmi sekali lagi menjadi penghalang dalam usaha mereka mencari gol penyamaan.

Sementara itu, sepakan percuma Indra Putra pada m-85 sekadar tersasar ke sebelah kanan pintu gol Negeri Sembilan.

Tiupan wisel penamat pengadil, Subkhiddin Mohd Salleh mengakhiri penantian Kelantan selama 89 tahun menjulang Piala Malaysia dan piala paling berprestij itu akan disimpan di negeri Cik Siti Wan Kembang buat pertama kalinya.

Sementara itu, penjaring gol pertama Kelantan, Hairuddin Omar diumumkan Pemain Terbaik perlawanan akhir itu.




coded by nessus

Tags: , , , ,

Readers Comments (0)




Latest News