PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa berkata, kejayaan pasukan Red Warriors menewaskan Johor FC 4-1 kelmarin menunjukkan bahawa pemain Kelantan menunjukkan prestasi sebenar mereka selepas beraksi sederhana dalam beberapa perlawanan lalu.
“Selepas apa yang berlaku pada perlawanan lalu, Kelantan kembali dalam landasan yang betul. Kita bermain dengan kapasiti yang sebenar dan saya percaya perlawanan seterusnya keputusan bakal berpihak kepada Kelantan,” katanya.
Dalam pada itu B Sathianatan berpuas hati dengan prestasi pemain bimbingannya yang menunjukkan peningkatan ketara seperti mana aksi ketika menewaskan Johor FC malam semalam.
Menurutnya, sebelum ini beliau tidak pernah meragui kemampuan skuad Red Warriors walaupun beberapa keputusan perlawanan tidak menyebelahi anak buahnya.
“Saya sudah kata sebelum ini, masa kita seri dengan Terengganu dan Perlis serta kalahkan Johor, saya berpuas hati dengan prestasi perlawanan.
“Kita harus ingat pasukan ini baru bersama dan dikumpulkan selama dua tiga bulan. Ini pasukan baru dan keserasian itu akan sampai. Semasa menentang Johor FC kita sudah tunjuk bahawa kita sudah kuasai perlawanan,” katanya.
Mengulas lanjut, bekas jurulatih skuad kebangsaan itu mengakui beliau sememangnya kurang senang dengan pemain apabila melepaskan gol penyamaan kepada Johor FC.
“Tetapi selepas (separuh masa kedua) pemain kita menunjukkan keserasian dan persembahan kita meningkat. Bagaimanapun saya belum lagi mencapai hasrat pemain yang diidamkan. Tetapi dengan sokongan penonton saya rasa masa depan pasukan ini cerah,” katanya.
Tags: Annuar Musa, B Sathianathan, Kelantan, Liga Malaysia, Liga Super