BERAKSI dengan kekuatan penuh belum menjamin meraih keputusan baik menentang Selangor, apa lagi dengan pasukan yang kepincangan beberapa tonggak.
Namun, itulah yang perlu dihadapi pengendali Kelantan, B Sathianathan yang terpaksa mengenepikan pertahanan tengah, S Subramaniam dan penjaga gol, Syed Adney Syed Hussein akibat kecederaan dengan penyerang, Indra Putra Mahayuddin berada dalam keadaan 50-50 bagi perlawanan Liga Super menentang pendahulu di tempat sendiri, malam ini.
“Indra tidak 100 peratus cergas. Kami kehilangan S Subramaniam dan Syed Adney akibat kecederaan buat perlawanan ini.
“Perlawanan ini adalah penting buat kami dengan ia memberi suntikan kepada musim kami,” kata Sathia ketika dihubungi semalam.
Mengenai perlawanan malam ini, Sathia tidak mahu terlalu defensif walaupun menyedari lawan mereka sudah menjaringkan sembilan gol dalam dua perlawanan sebelum ini - 4-0 ke atas Kedah dalam Liga Super dan 5-1 ke atas Pos Malaysia dalam suku akhir Piala Malaysia.
“Selangor adalah jentera jaringan. Kami tidak akan terlalu bertahan ketika menghadapi mereka. Safee Sali menampilkan persembahan mantap dan mereka bermain sebagai satu pasukan,” kata Sathia yang gemarkan Safee ketika bergelar watak pengendali kebangsaan sebelum ini.
— Dipetik dari Berita Harian
Tags: B Sathianathan, Kelantan, Kelantan-Selangor, Kota Bharu, Liga Super, Selangor