PAHANG nyaris mencipta kejutan ke atas pencabar utama Liga Super musim ini, Kelantan namun kealpaan pada minit akhir perlawanan menyaksikan pasukan The Red Warriors itu berjaya menyumbat dua gol ketika ketinggalan 1-3 untuk mengikat kedudukan 3-3 di Stadium Darul Makmur malam ini.
Ketika pasukan tuan rumah berkira-kira membolot tiga mata penuh selain memberikan kejutan buat The Red Warriors, dua gol menerusi S Chanturu dan Nizad Ayub ternyata menghampakan para penyokong pasukan Tok Gajah melihat dua mata berharga diragut begitu saja tanpa ehsan.
Pasukan tuan rumah bagaimana pun terlebih dahulu ketinggalan satu gol di belakang apabila Mohd Norfarhan Muhamad menyumbat gol pembukaan seawal minit keenam.
Skuad Tok Gajah yang dibimbing Dollah Salleh bangkit ‘mengamuk’ menjaringkan tiga gol selepas itu melalui Azamuddin Mohd Akil pada minit ke-34 dan dua gol sumbangan Hasmizan Kamaridon pada minit ke-37 dan 46.
Kelantan yang begitu terdesak untuk mencatat kemenangan bagi terus merapati Selangor terpaksa menunggu hingga minit ke-87 untuk menjaringkan gol kedua apabila S Chanturu merapatkan kedudukan sebelum Mohd Nizad Ayub menjadi penyelamat ‘The Red Warriors’ dengan jaringan pada minit ke-90.
Keputusan perlawanan ini bagaimana pun tidak mengubah kedudukan kedua-dua pasukan dalam carta Liga Super di mana Kelantan kekal di tangga kedua, tambahan pula apabila satu lagi pesaing terdekat Kelantan iaitu Terengganu turut mencatat keputusan seri apabila diikat 1-1 oleh pasukan Kedah.
Manakala Pahang pula masih berada di tangga ke-10 liga dengan 17 mata.
Tags: Kelantan, Kelantan-Pahang, Liga Super, Pahang