PENGENDALI Perlis, Mohd Nidzam Adha Yusoff yakin para pemainnya mampu bangkit daripada kekalahan di tempat sendiri kepada Johor FC, Sabtu lepas apabila bertandang ke Alor Setar bagi aksi Liga Super malam ini.
Biar pun sedar pasukan tuan rumah, Kedah berada pada prestasi terbaik selepas menang selesa ke atas Johor pada perlawanan pembuka tirai, Mohd Nidzam tetap optimis dengan kesungguhan tinggi anak buahnya untuk bangkit dengan persembahan lebih bertenaga bagi memburu mata di tempat lawan.
Keyakinan itu mungkin bertitik tolak daripada beberapa faktor termasuk peningkatan memberangsangkan ditunjukkan para pemain pada sesi latihan selepas mempamerkan agak mengecewakan ketika tewas 1-0 kepada Johor FC.
Bekas pengendali Kuala Muda Naza musim lalu itu berkata, antaranya paling utama ialah peningkatan dalam persefahaman membabitkan pemain lama dan baru serta empat anggota skuad bawah 23 tahun negara.
Walaupun gagal memenuhi sasaran mengutip mata apabila tewas pada perlawanan pertama, semangat serta komitmen barisan pemain tidak terjejas, malah semakin `membuak-buak’.
“Saya percaya persembahan pasukan kali ini pasti akan lebih mantap biarpun terpaksa berdepan Kedah (malam ini). Kami akui Kedah pasti turun dengan semangat tinggi memburu kemenangan kedua selepas menang 3-0 ke atas Johor. Tapi, semua itu bukan alasan buat kami memburu kejayaan.
Tags: Alor Setar, Kedah, Liga Malaysia, Liga Super, Perlis, Prebiu