29 Dis 2009
HAJAT Kedah untuk merangkul kejuaraan Piala Emas Raja-Raja buat kali ketujuh lebur di tangan Perlis selepas tewas 0-2 pada aksi final yang mendebarkan di Stadium Darulaman, Alor Setar, malam tadi.
Beraksi di gelanggang sendiri, Kedah memulakan beberapa gerakan berbahaya ke kubu lawan namun berjaya disekat barisan pertahanan pelawat.
Bagaimanapun pada minit ke-4 perlawanan, Perlis membuatkan 40,000 penyokong hijau kuning terdiam apabila rembatan Romhizat Jamian dari luar kotak penalti berjaya meledakkan gol untuk Singa Utara di depan 1-0.
Aksi bertambah rancak selepas itu, apabila serangan bertali arus Perlis berjaya mengkucar-kacirkan pertahanan tuan rumah.
Pada minit ke-19, pelawat menggandakan jaringan untuk selesa di depan 2-0.
Gol tercipta hasil sepakan percuma yang diambil kapten, Adrein Jurad Chamrong yang gagal ditangkap kemas, penjaga gol tuan rumah, Mohd Khairul Azuan.
Ketinggalan 0-2, tuan rumah menggandakan asakan di babak kedua, namun percubaan membolosi gawang lawan gagal menepati sasaran.
Manakala Perlis pula kehilangan seorang pemain apabila Romhizat diarah keluar padang selepas menerima kad merah kerana mengasari pemain lawan pada minit ke-83.
Dua minit kemudian, pengadil terpaksa melayang dua lagi kad merah masing-masing kepada kapten Kedah, Mohd Fazliata Taib dan pemain pelawat, Ezzrul Ikmanizar Abd Rahman ekoran pergaduhan.
Sehingga wisel penamat dibunyikan, tiada tambahan gol dilakukan kedua-dua pasukan yang menyaksikan Perlis muncul juara Puncak Piala Emas Raja-Raja menewaskan Kedah 2-0.
Selaku juara, Perlis menjulang Piala Emas Raja-Raja dan membawa pulang wang tunai RM30,000 yang disampaikan Raja Muda Kedah, Tunku Abdul Malik Almahrum Sultan Badlishah.
Tags: Final, Juara, Kedah, Perlis, Piala Emas Raja-Raja