GANDINGAN Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak dan Norizam Salaman tetap menjadi sandaran jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan, ketika pasukan itu turun menentang Pahang, dalam saingan Liga Super di Stadium Darulmakmur, Kuantan, malam ini.
Walaupun setakat ini Mohd Zaquan belum menjaringkan sebarang gol selepas empat perlawanan, pengendali itu tetap yakin akan kemampuan penyerang kebangsaan itu melaksanakan tugas yang disandarkan kepadanya.
Baginya, adik kembar kepada Mohd Aidil Zafuan itu ada kelas tersendiri dan dia yakin pemain berkenaan akan dapat membuktikan kemampuan sebenar untuk menjaringkan gol bagi membantu Negeri Sembilan mencapai kemenangan.
“Walaupun setakat ini Zaquan belum dapat menembusi gawang lawan, saya yakin dia sudah berusaha keras untuk membantu pasukan mencapai kemenangan.
“Saya tetap berharap dia dapat memberikan persembahan terbaik ketika menentang Pahang kerana Negeri Sembilan amat mengharapkan kemenangan untuk meletakkan kami dalam kelompok teratas bagi terus bersaing dengan pasukan elit lain,” katanya.
Wan Jamak mengakui Negeri Sembilan tidak mempunyai ramai pemain yang mampu menggalas tugas mencabar di barisan depan itu kerana rata-rata pemain skuad itu masih muda seperti Mohd Firdaus Azizul dan Mohd Asyraff Al-Jafri.
Norizam pula masih baru bersama Negeri Sembilan dan memerlukan masa untuk mengembalikan semula prestasi cemerlang ketika bersama Johor sebelum ini.
Tags: Liga Malaysia, Liga Super, Negeri Sembilan, Norizam Salaman, Pahang, Prebiu, Zaquan Adha