Tuesday, 04/08/2020


Prebiu Perlis-Kelantan: Sathia hormati tuan rumah, gesa pemain kekal rekod bersih

Published on January 16, 2010 by   ·   No Comments

DI SEBALIK menghormati lawan dihadapi, Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan yakin skuad kendaliannya mampu meraih tiga mata penuh apabila turun menentang Perlis di gelanggang lawan dalam perlawanan Liga Super, malam ini.

Katanya, kejayaan itu mampu dicapai jika skuad itu mampu mempamerkan persembahan cemerlang seperti mana ketika menentang Johor di gelanggang sendiri yang berkesudahan tiga gol tanpa balas di Stadium Sultan Mohammad Ke-IV di sini, Rabu lepas.

“Jika kesebelasan utama berjaya mengulangi permainan cemerlang seperti itu, tidak mustahil kita akan berjaya mengulangi kejayaan ketika menentang Perlis nanti,” katanya.

Pada pertemuan itu, Kelantan berjaya mempamerkan persembahan bertenaga dengan membelasah Johor 3-0 untuk menduduki tangga kedua liga di belakang Selangor, manakala Perlis membenam Kedah di gelanggang lawan 1-0.

Menurut Sathianathan, dia amat berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan kesebelasan anak buahnya pada perlawanan berkenaan.

Mengenai perlawanan malam ini Sathianathan berkata, anak buahnya perlu berhati-hati kerana Perlis kini sudah mendapat semangat baru selepas menewaskan Kedah di Alor Setar, Selasa lalu.

Tanpa berselindung, bekas jurulatih kebangsaan ini percaya perlawanan malam ini pastinya sengit dan Kelantan tidak berdepan laluan mudah untuk menundukkan Singa Utara itu.

“Mungkin kita pernah menewaskan mereka pada separuh akhir Piala Malaysia lalu tetapi seperti juga kita, mereka juga menjadi sebuah pasukan yang berbeza untuk musim baru ini.

“Menewaskan Kedah di Alor Setar bukan tugas yang mudah tetapi mereka berjaya melakukannya dan kita perlu lebih berhati- hati,” katanya.

Tambahnya, pemain The Red Warriors perlu bersedia dari segi mental terutama ketika berdepan dengan penyokong tuan rumah yang pastinya akan membanjiri stadium.

Katanya, jika memandang rendah kemampuan lawan, ia akan mengundang padah.

“Setakat ini, saya berpuas hati dengan keupayaan pemain terutama barisan pertahanan. Kita satu-satunya pasukan yang belum dibolosi dan ia perlu dikekalkan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menamakan dua pemain Perlis, Azrul Ahmad dan Ahmad Fakri Saarani sebagai pemain yang mampu menghampakan The Red Warriors.

Jelasnya, Kelantan masih belum mendapatkan khidmat dua pemain tonggak, Norfarhan Mohamad dan Zairul Fitree Ishak yang masih dibelenggu kecederaan.

“Kedua-duanya masih belum boleh disenaraikan kerana cedera dan apa yang lebih positif adalah semua pemain berusaha untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama,” jelasnya.




coded by nessus

Tags: , , , , , ,

Readers Comments (0)




Latest News